Presiden sementara mesir, Adly Mansour menyeru penyatuan nasional rakyat mesir supaya bersama-sama membina masa depan negara itu.

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung, Mansour meminta rakyat Mesir tidak mengambil tindakan yang boleh memusnahkan masa depan negara.

“Kami mahu membuka era baru, bebas daripada prasangka, kebencian dan pembahagian antara kita. Kita perlu menggalakkan sesiapa sahaja yang cuba untuk melakukan sesuatu untuk negara, dan bukan memusnahkan dia. Ia adalah masa untuk mewujudkan sebuah negara yang berdasarkan perdamaian dengan masa lalu untuk demi masa depan "

Ucapan dibuat ketika penyokong bekas presiden Mohamed Morsi meneruskan protes pasca penggulingan Morsi oleh pihak tentera.

Sehingga kini, hampir tiga minggu, Morsi masih ditahan tentera di satu lokasi rahsia.

Penyokong Morsi mendesak bekas presiden dibebaskan serta merta dan kerusi presiden dikembalikan kepada pemimpin itu yang dipilih menerusi proses demokrasi.

Dalam insiden terbaru, penyokong Morsi bertempur di Dataran Tahrir.

Keganasan tercetus apabila beberapa ratus penyokong Morsi berarak ke kedutaan Amerika Syarikat bagi membantah dakwaan bahawa Washington campur tangan dalam hal ehwal dalaman Mesir.

Ketika tiba di Dataran Tahrir, penyokong Morsi dihalang oleh kumpulan anti Ikhwanul Muslimin dan saling membaling batu.

Turut kedengaran bunyi tembakan. Namun, tidak dapat dipastikan siapa yang melepaskan tembakan.

Pertempuran turut berlaku di Galioub yang menyaksikan seorang mati ditembak.