BEIJING: Republik Rakyat China dan Republik Honduras pada Ahad mengumumkan menjalinkan hubungan diplomatik selepas Honduras memutuskan 'hubungan diplomatik' dengan pihak berkuasa Taiwan.

Ini bermakna China telah menjalin ikatan diplomatik dengan 182 buah negara di dunia manakala hanya tinggal 13 negara sahaja yang masih mengekalkan 'hubungan diplomatik' dengan Taiwan.

Perkara ini mencerminkan prinsip satu China menjadi konsensus masyarakat antarabangsa dan norma hubungan antarabangsa yang diiktiraf semua.

Fakta dari sudut sejarah mahupun undang-undang memperlihatkan bahawa hanya terdapat satu China di dunia dan kerajaan Republik Rakyat China merupakan satu-satunya kerajaan sah sementara Taiwan sebahagian wilayah yang tidak boleh dipisahkan dari China.

Penjalinan ikatan diplomatik Honduras-China turut memaparkan aspirasi negara-negara Amerika Latin untuk mewujudkan pembangunan yang dihormati.

China mengalu-alukan Honduras mengambil bahagian dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) serta Inisiatif Peradaban Global (GCI) demi memperkasa interaksi dan kerjasama pragmatik.

Di samping itu, China juga bersedia mengambil siri pendekatan bagi memastikan ikatan diplomatik membawa limpahan manfaat kepada kedua-dua negara termasuk memperluas pengimportan, menggalakkan pelaburan, menyertai pembinaan infrastruktur dan melaksanakan projek berkaitan kebajikan rakyat di Honduras.

Selain menjunjung prinsip satu China, Honduras juga menyatakan komitmen untuk merapatkan lagi hubungan dengan China dan mempergiat kerjasama bilateral dalam pelbagai bidang.

Iltizam China dan Honduras ke arah memperkasa kerjasama saling untung bukan sahaja membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, malah bakal memperkukuh solidariti dan kolaborasi sesama negara membangun, di samping menggalakkan pendemokrasian hubungan antarabangsa. - BERNAMA