Skip to main content

Malaysia

Bukan pilih kasih, subsidi diesel keperluan mendesak untuk Sabah

KUALA LUMPUR, 31 Mac -- Kerajaan mengekalkan bantuan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pada kadar RM300 sebulan untuk April ini sebagai langkah melindungi rakyat ketika pasaran tenaga global yang semakin tidak menentu.  Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bantuan tambahan interim sebanyak RM100 akan diteruskan, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bagi kategori BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi kekal sebanyak RM300.  "Bantuan akan disalurkan mulai 8 April ini, memanfaatkan kir
Pemimpin negeri Sabah melihat faktor geografi yang luas dan mencabar menjadikan diesel sebagai nadi pergerakan utama rakyat marhaen. - Gambar hiasan/Bernama

KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi diesel pada kadar RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak, dan Labuan bukan langkah “pilih kasih”,  sebaliknya ia keperluan mendesak berdasarkan realiti sosioekonomi di wilayah berkenaan.

Pemimpin negeri ini melihat faktor geografi yang luas dan mencabar menjadikan diesel sebagai nadi pergerakan utama rakyat marhaen, dengan pengangkutan darat mahupun air menggunakan bahan bakar tersebut untuk menghubungkan kawasan pedalaman ke pusat bandar terutama bagi membawa barang keperluan harian.

Advertisement

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata faktor muka bumi dan keadaan infrastruktur jalan raya yang mencabar menjadikan kenderaan berenjin diesel terutamanya pacuan empat roda sebagai keperluan utama penduduk berbanding di Semenanjung.

Beliau berkata situasi itu memperlihatkan keputusan kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi bahan api tersebut di negeri ini amat bertepatan dan wajar difahami oleh seluruh masyarakat luar.

“Kita mengucapkan terima kasih atas kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak kerana keadaan geografi dan keperluan perjalanan harian kita di sini jauh berbeza," katanya kepada Bernama.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan penduduk di negeri ini agar sentiasa menggunakan kemudahan subsidi tersebut secara berhemah dan bekerjasama mengelakkan penyelewengan.

Bagi melindungi kelangsungan pemain industri makanan pula, Jamawi memaklumkan pihaknya kini giat berunding dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan petani kecil di Sabah tidak tercicir daripada manfaat subsidi berkenaan.

Beliau berkata bagi mendepani kenaikan kos operasi akibat ketidaktentuan harga pasaran baja kimia semasa pula, petani amat digalakkan untuk beralih kepada penggunaan baja kompos yang lebih kos efektif.

Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah Tan Sri Liew Yun Fah menegaskan pengekalan subsidi diesel di Sabah bukan satu bentuk ketidakadilan kepada negeri lain.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai itu berkata langkah tersebut sebaliknya amat wajar kerana mengambil kira realiti perbezaan ketara dari segi kemudahan asas, kualiti jalan raya serta kos logistik yang sangat tinggi.

Beliau menjelaskan bahawa rakyat di Sabah selama ini sentiasa bertoleransi apabila berdepan pelbagai kekangan jalan raya yang jauh lebih daif dan tidak mempersoalkan jurang pembangunan berkenaan.

“Jarak Kuala Lumpur ke Perlis dalam 500 kilometer (km) mengambil masa kira-kira enam jam sahaja, manakala perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tawau yang sejauh kira-kira 450 km mengambil masa hampir 10 jam.

“Perjalanan panjang ini berlaku kerana keadaan jalan yang teruk, kenderaan terdedah kepada kerosakan dan ketiadaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R),” katanya.

Turut senada, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib yang menzahirkan harapan agar kerajaan terus mengekalkan subsidi itu bagi mengelak lonjakan kos sara hidup rakyat.

“Sebarang kenaikan harga bahan api dikhuatiri akan mencetuskan kesan rantaian secara langsung terhadap peningkatan kos pengangkutan yang pada akhirnya terpaksa ditanggung oleh pengguna. Kita di Sabah bukan semua orang kaya,” katanya.

James menjelaskan bahawa realiti ekonomi pada masa kini telah membuktikan harga barangan keperluan di Sabah sememangnya sedia ada lebih tinggi jika dibandingkan di Semenanjung.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick pula berkata Sabah sememangnya berhak mendapat kemudahan subsidi diesel memandangkan kedudukannya sebagai antara negeri pengeluar utama minyak serta gas di negara ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah itu berkata hasil bumi dari negeri tersebut telah banyak menyumbang kepada kemajuan pembangunan nasional sejak sekian lama.

"Pada pandangan saya, sudah tiba masanya kerajaan Persekutuan mengkaji bagaimana keperluan domestik diutamakan untuk negeri pengeluar ini, dan pulangan daripada hasil tersebut harus dikembalikan demi manfaat rakyat," tegasnya.

Ewon turut menegaskan bahawa walaupun masih wujud pelbagai tuntutan hak Sabah dan Sarawak yang belum dilaksanakan sepenuhnya, ia sama sekali tidak pernah menjejaskan semangat kerjasama erat dan perpaduan antara wilayah di Malaysia.

-- BERNAMA

Must Watch Video