LIMA: Angka kematian meningkat kepada 23 orang susulan tunjuk perasaan di seluruh negara akibat penggulingan bekas Presiden Pedro Castillo, menurut pihak berkuasa.

Peru mengisytiharkan darurat di seluruh negara selama 30 hari berikutan pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan di beberapa kawasan, lapor Agensi Anadolu.

Sekurang-kurangnya 569 orang termasuk 216 anggota keselamatan cedera di wilayah Lima, Apurimac, Ancash, Ayacucho, Cajamarca, Cusco, Moquegua dan Puno, menurut Pejabat Ombudsman Peru, pada Sabtu.

Protes paling ganas dilaporkan tercetus di Ayacucho dan Apurimac, yang menyumbang 13 angka korban daripada keseluruhan jumlah kematian.

Koordinator Kebangsaan Peru untuk Hak Asasi Manusia, iaitu gabungan kumpulan masyarakat sivil menggesa agar kekerasan terhadap penunjuk perasaan dihentikan serta-merta dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta menghukum mereka yang bertanggungjawab.

Penunjuk perasaan mendesak agar Castillo dibebaskan segera serta meminta Presiden baharu Peru Dina Boluarte meletak jawatan, pembubaran parlimen dan pilihan raya baharu.

-- BERNAMA