INTERNATIONAL
PRU2025 Singapura: Ketidaktentuan global dijangka pengaruhi pengundi

Dalam persekitaran yang tidak menentu ini, Chin menjangka pengundi cenderung memilih kesinambungan dan kestabilan, sesuatu yang mungkin memberi kelebihan kepada PAP. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (PRU2025) berlangsung dalam suasana ketidaktentuan global yang semakin memuncak, dengan kebimbangan terhadap ekonomi dan perubahan geopolitik dijangka mempengaruhi sentimen pengundi.
Pakar geopolitik Prof Dr James Chin berkata meskipun Parti Tindakan Rakyat (PAP) dijangka terus memegang kuasa, ujian sebenar adalah sama ada parti itu mampu mengekalkan bahagian undi popular yang kukuh.
Penganalisis melihat ambang 61 peratus - pencapaian undi popular PAP pada pilihan raya umum lalu -sebagai penanda aras kejayaan yang simbolik.
"Singapura telah menguruskan peralihan kepimpinan Generasi Keempat (4G) dengan baik. Tiada siapa menjangka kepimpinan baharu ini lemah," kata Chin kepada Bernama International News Service pada Khamis.Ahli akademik dari Universiti Tasmania itu berkata, faktor paling signifikan dalam pilihan raya kali ini bukanlah peralihan kepimpinan, sebaliknya ketidaktentuan yang dihadapi negara itu.
"Isu sebenar ialah Singapura sedang berhadapan dengan masa depan yang sangat tidak menentu," katanya.
Chin, yang juga pakar dalam bidang geopolitik dan kajian Asia, berkata kebergantungan besar Singapura terhadap perdagangan global menjadikannya sangat terdedah kepada kejutan luaran, khususnya dasar perdagangan Amerika Syarikat yang kini sedang mengubah struktur ekonomi global.
"Ketika era Presiden Donald Trump, kebimbangan utama di Singapura adalah masa depan ekonomi mereka dan kedudukan dalam rangkaian perdagangan global," katanya.
Dalam persekitaran yang tidak menentu ini, Chin menjangka pengundi cenderung memilih kesinambungan dan kestabilan, sesuatu yang mungkin memberi kelebihan kepada PAP.
"Jika PAP sekali lagi memperoleh 61 peratus undi popular, ia akan dianggap satu kejayaan besar. Sama ada ia mampu mencapainya masih belum pasti, tetapi faktor yang memihak kepada mereka termasuk peralihan kepimpinan baru-baru ini serta kebimbangan ekonomi akibat dasar perdagangan Trump," katanya.
Tambahnya, rakyat Singapura lazimnya mengundi secara konservatif apabila masa depan dilihat tidak menentu, satu trend yang turut berlaku di negara Asia Tenggara lain termasuk Malaysia.
Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, beliau melihat kos sara hidup muncul sebagai isu utama dalam PRU2025, terutamanya dengan peningkatan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), harga makanan dan perumahan, serta jurang kekayaan yang semakin ketara.
Katanya, kebimbangan mengenai imigrasi dan persaingan dalam pasaran pekerjaan turut memainkan peranan besar, khususnya dalam kalangan golongan pertengahan dan pekerja mahir yang merasakan dasar keterbukaan Singapura menjejaskan kedudukan mereka.
"Namun begitu, pembangkang terutamanya Parti Pekerja (WP), Parti Demokratik Singapura (SDP) dan Parti Kemajuan Singapura (PSP) masih berdepan dengan kekangan dari segi capaian akar umbi yang meluas, meskipun manifesto mereka secara umumnya lebih terperinci berbanding yang dikemukakan oleh PAP," katanya.
Beliau berkata walaupun sering dianggap kurang pengalaman mentadbir, beberapa tokoh pembangkang sebenarnya mempunyai latar belakang profesional yang kukuh, termasuk Prof Paul Tambyah dari SDP yang berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, dan Dr Ong Lue Ping dari WP yang berpengalaman di Institut Kesihatan Mental (IMH) Singapura.
"Sekiranya pembangkang berjaya menampilkan diri sebagai pengimbang kuasa yang berkesan di Parlimen, mereka berpotensi menarik sokongan daripada pengundi rasionalis, terutamanya dalam kalangan generasi muda dan golongan profesional yang semakin menuntut keterwakilan suara alternatif," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami