INTERNATIONAL
PRU2025: Singapura perkenal undang-undang baharu terhadap bahan kempen dalam talian

Singapura melarang penerbitan sebarang Iklan Pilihan Raya Dalam Talian (OEA) yang memesongkan ucapan atau tindakan calon pilihan raya.
SINGAPURA: Undang-undang baharu akan dikuatkuasakan buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum akan datang di Singapura (PRU2025) bagi melindungi calon daripada bahan kempen dalam talian yang dihasilkan atau dimanipulasi secara digital untuk menyerang mereka, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD).
Menurut ELD, Akta Pilihan Raya (Pindaan Integriti Pengiklanan Dalam Talian) melarang penerbitan sebarang Iklan Pilihan Raya Dalam Talian (OEA) yang memesongkan ucapan atau tindakan calon sama ada kandungan itu memihak atau memudaratkan mana-mana calon.
Ini termasuk kandungan yang dihasilkan atau diubah suai menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) serta teknik bukan AI seperti suntingan Photoshop, alih suara dan cantuman video.
"Bermula dari tarikh Writ Pilihan Raya dikeluarkan hingga tamat proses penamaan calon pada Hari Penamaan, undang-undang baharu ini melindungi calon berpotensi yang membayar deposit pilihan raya dan menerima kebenaran ELD untuk mengisytiharkan pencalonan mereka secara rasmi daripada serangan OEA yang dihasilkan atau dimanipulasi secara digital."Peraturan ini, yang akan diguna pakai buat kali pertama pada PRU2025, bertujuan menegakkan ketelusan dan ketepatan representasi semasa pilihan raya," menurut kenyataan ELD mengenai garis panduan berkempen.
OEA ditakrifkan sebagai sebarang bahan yang diterbitkan dalam talian atau dalam kumpulan mesej awam yang secara munasabah boleh dianggap bertujuan mempromosi atau menjejaskan kejayaan pilihan raya atau kedudukan sesebuah parti politik atau calon.
Undang-undang ini diluluskan oleh Parlimen pada Oktober 2024 dan berkuat kuasa mulai Januari tahun ini.
Sementara itu, ELD turut mengingatkan calon agar memainkan peranan dalam mengurangkan risiko menjadi saluran atau mangsa campur tangan asing, dan tidak mendapatkan sokongan luar bagi kempen mereka.
"Keputusan pilihan raya Singapura mesti ditentukan oleh rakyat Singapura sahaja. Calon perlu meningkatkan pemahaman mengenai ancaman ini serta berwaspada terhadap tingkah laku mencurigakan dan agenda tersembunyi agar kempen pilihan raya mereka bebas daripada campur tangan asing," tambah kenyataan itu.
Singapura membubarkan Parlimennya pada Selasa, membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 negara itu pada 3 Mei. Hari Penamaan Calon ditetapkan pada 23 April.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami