MENJELANG pilihan raya umum Myanmar Ahad ini, Facebook bertindak menghapuskan puluhan akaun laman media sosial itu kerana didakwa menjalankan aktiviti hasutan politik perkauman dengan menggunakan identiti atau akaun palsu.

Sejumlah 36 akaun dan enam laman web yang dikendali sebuah agensi perhubungan awam, Openmind dibuang atas sebab menggunakan identiti palsu dalam usaha mempromosikan kerajaan junta, Parti Perpaduan dan Pembangunan Kesatuan (USDP), lapor Facebook menerusi laporan bulanannya.

Bagaimanapun, menurut laporan Reuters, Openmind tidak membuat sebarang kenyataan untuk membalas dakwaan itu.

Puluhan akaun Facebook Myanmar dilaporkan menularkan kenyataan berbaur hasutan, termasuk informasi mengenai etnik dan agama yang dituduh palsu.

Ada juga akaun yang dikaitkan dengan rangkaian yang dikendali oleh tentera Myanmar.

Dalam isu berasingan, Facebook turut menurunkan puluhan halaman yang berkaitan dengan rangkaian spam yang diturunkan bulan lalu.

Rangkaian yang memiliki jutaan pengikut itu mengandungi informasi umpan klik termasuk gosip selebriti serta kenyataan palsu berkaitan COVID-19.