COLOMBO: Polis Sri Lanka terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang marah terhadap keputusan menangguhkan pilihan raya tempatan.

Bantahan itu berlaku selepas kerajaan memberitahu ia tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi akibat krisis ekonomi yang melumpuhkan kedudukan kewangan negara itu.

Menurut Hospital Nasional Colombo, kira-kira 15 orang dirawat akibat cedera ringan selepas ribuan penyokong parti pembangkang Kuasa Rakyat Kebangsaan (NPP) berarak ke arah daerah pusat perniagaan utama di ibu kota Colombo.

Mereka tidak mengendahkan amaran polis selepas perintah mahkamah menghalang mereka daripada memasuki kawasan berkenaan, termasuk kediaman Presiden, pejabat dan beberapa bangunan utama kerajaan.

Perintah itu diperoleh berikutan protes besar-besaran Julai tahun lalu, apabila ribuan orang menyerbu pejabat dan kediaman Presiden serta mendudukinya selama beberapa hari.

Krisis memaksa Presiden ketika itu, Gotabaya Rajapaksa, meninggalkan negara dan meletakkan jawatan.

Rusuhan itu berpunca daripada kekurangan teruk bekalan barangan makanan, bahan api, gas memasak dan ubat-ubatan, selepas Sri Lanka diisytiharkan muflis kerana tidak dapat membayar balik hutang luarnya.

Presiden baharu, Ranil Wickremesinghe, merundingkan pakej menyelamat dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi pinjaman AS$2.9 bilion dalam tempoh empat tahun.

Ia bagaimanapun hanya boleh dimuktamadkan sekiranya Sri Lanka memberi jaminan mengenai penstrukturan semula bayaran hutang.

Jumlah hutang asing Sri Lanka melebihi AS$51 bilion, di mana ia harus membayar balik AS$28 bilion menjelang 2027.

Kementerian Kewangan di bawah Wickremesinghe berkata ia tidak boleh memperuntukkan dana yang mencukupi untuk pilihan raya 9 Mac ini bagi pemilihan Majlis Perbandaran dan Kampung, walaupun parti politik sudah mengemukakan pencalonan.

Keputusan itu memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya menangguhkan pilihan raya berkenaan.

Walaupun ada petunjuk kemajuan dalam pengurangan dan menamatkan catuan elektrik setiap hari selepas hampir setahun, Wickremesinghe sangat tidak popular dalam kalangan rakyat.

Ramai orang mengatakan beliau tidak mempunyai mandat kerana dipilih oleh Ahli Parlimen yang disokong oleh penyokong Rajapaksa.

Mereka menuduh Wickremesinghe melindungi ahli keluarga Rajapaksa daripada tuduhan rasuah sebagai balasan bagi menyokongnya di Parlimen.

NPP, yang menganjurkan perhimpunan, hanya mempunyai tiga wakil di Parlimen Sri Lanka.

Bagaimanapun, ia menikmati gelombang sokongan orang ramai selepas krisis ekonomi menghakis populariti parti politik tradisional yang memerintah Sri Lanka sejak merdeka.