Usaha mencari dan menyelamat mangsa yang masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur di Jawa Tengah sejak Ahad lalu terus digerakkan.

Setakat ini, 47 orang disahkan maut.

Kes kematian tertinggi dicatatkan berlaku di Purworejo, Banjarnegara dan Kebumen.

Kebanyakan mangsa dilaporkan terperangkap dalam rumah masing-masing selepas kediaman mereka ditimbus tanah runtuh berkenaan.

Selain itu, ribuan rumah juga dilaporkan turut tenggelam akibat banjir lumpur yang melanda kawasan itu.

Setakat ini, 450 anggota pasukan mencari dan menyelamat dikerah ke lokasi kejadian bagi mencari mangsa yang masih hilang.

Agensi pengurusan bencana kebangsaan juga tidak menolak kemungkinan berlaku tanah runtuh dan hujan lebat susulan yang dijangka melanda daerah berkenaan.

Seorang jurucakap agensi, Sutopo Purwo Nugroho ketika ditemui berkata ketika ini, 47 maut dan 15 hilang. Ratusan rumah musnah dan rebah ke bumi ekoran kejadian tanah runtuh.

Nugroho berkata fenomena cuaca akibat La Nina yang seringkali membawa taburan hujan yang tinggi berkemungkinan menjadi faktor penyumbang kepada tragedi tersebut.

Kepulauan Jawa, yang sepatutnya mengalami musim panas ketika ini, mengalami musim hujan melampau beberapa minggu ini.

Indonesia dan beberapa kawasan di benua Asia pernah mengalami fenomena El Nino yang mengakibatkan hujan dan penurunan suhu melampau yang menyebabkan berlakunya fenomena La Nina.