Skip to main content

Malaysia

UMNO ajak bekas ahli dipecat, digantung yang berminat sertai semula parti

ARAU, 26 Julai -- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Pejabat UMNO Bahagian Arau di Simpang Empat hari ini.  -- fotoBERNAMA (2025)
Ahmad Zahid berkata bulan yang penuh rahmat ini adalah waktu terbaik untuk memperkukuh tali ukhuwah dan mempertautkan kembali semangat perjuangan parti.

KUALA LUMPUR: UMNO mengumumkan langkah membuka pintu penyatuan tanpa syarat bagi mengajak bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya yang berminat kembali menyertai perjuangan parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata bulan yang penuh rahmat ini adalah waktu terbaik untuk memperkukuh tali ukhuwah dan mempertautkan kembali semangat perjuangan parti.

Advertisement

Beliau menekankan bahawa kekuatan UMNO bukan hanya bergantung kepada struktur organisasi, tetapi juga sokongan dan dokongan seluruh ahli di semua peringkat.

“UMNO membuka pintu Rumah Bangsa ini seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya atau mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan ini,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

"Dalam semangat Ramadan, segala kekhilafan dan perbezaan lampau akan dimaafkan sepenuhnya demi membuka lembaran baharu dan memperkukuh keluarga besar UMNO.

"Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses penyatuan ini mengikut tatacara yang bersesuaian dengan Perlembagaan UMNO.

“Semoga usaha ini dipermudahkan oleh Allah Subhanahuwataala dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanahair, serta memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara,” katanya.

 

 

 

Must Watch Video