PARIS: Pakar pelupusan bahan letupan Perancis menemukan puluhan bahan letupan era Perang Dunia Kedua di kawasan yang musnah akibat kebakaran hutan di pantai Atlantik negara itu.
“Kami menjalankan operasi minggu lalu dan menemukan kawasan ini, dengan 75 butir peluru berjaya dialihkan,” kata Ketua Perkhidmatan Pelupusan Bahan Letupan Bordeaux Philippe Delemotte kepada penyiar France Info pada Isnin, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Bunyi letupan kedengaran di perkampungan Le Porge ketika kebakaran hutan terbesar di Perancis setakat musim ini marak di kawasan berkenaan, sekali gus membawa kepada penemuan bahan letupan itu.
Pasukan berkenaan pada mulanya menyangka mereka menemukan tempat simpanan peluru yang ditinggalkan tentera Jerman.
Bagaimanapun, Delemotte berkata siasatan lanjut mendapati bahan letupan itu sebenarnya dikumpulkan di dalam lubang untuk dimusnahkan, namun operasi berkenaan dipercayai tidak berjaya sepenuhnya sehingga menyebabkan sebahagiannya yang masih aktif tertinggal di permukaan.
Bagi memastikan penduduk dapat kembali dengan selamat ke kediaman berhampiran, baki bahan letupan sedang dikesan dan dimusnahkan secepat mungkin.
Menurut Delemotte, penemuan itu termasuk peluru mortar Perancis dan peluru kereta kebal Jerman.
“Kami percaya masih terdapat banyak lagi kerana beberapa butir telah ditemukan dalam tempoh hanya lima minit,” kata beliau.
-- BERNAMA-dpa