STANSTED: Semua penerbangan digantung di Lapangan Terbang Stansted, United Kingdom (UK) selepas landasannya terpaksa ditutup akibat cuaca buruk.

Lapangan Terbang Heathrow dan Gatwick juga membatalkan serta menangguhkan penerbangan selepas salji, ais dan kabus beku melanda sebahagian besar negara itu.

Amaran cuaca kuning kekal di Scotland, London dan barat daya England sehingga awal pagi Isnin dengan gangguan dijangka berterusan.

Perkhidmatan kereta api turut ditangguhkan dan pemandu diberi amaran untuk berhati-hati selepas beberapa kemalangan dilaporkan di lebuh raya.

Wakil pengurusan Lapangan Terbang Stansted berkata, satu-satunya landasannya ditutup untuk membolehkan pelepasan salji disebabkan keadaan cuaca beku.

Seorang jurucakap pengangkutan berkata, kelewatan penerbangan dialami lebih awal kerana penyahcairan ais pesawat yang merupakan tanggungjawab pengendali darat dan keselamatan pesawat serta penumpang adalah keutamaan mereka.

Justeru penumpang dinasihatkan untuk menyemak dengan syarikat penerbangan mereka bagi mengetahui status semasa penerbangan.

Dalam pada itu, lebih 50 penerbangan dibatalkan di Heathrow selepas kabus beku mengakibatkan sekatan kawalan trafik udara ke atas bilangan pesawat yang boleh mendarat dan berlepas dalam setiap jam.

British Airways, syarikat penerbangan terbesar di Heathrow berkata, pihaknya memohon maaf kepada pelanggan dan telah membayar balik atau menempah semula penerbangan yang telah dibatalkan selain turut menyediakan minuman serta baucar hotel jika diperlukan.

Jelas syarikat itu, Heathrow akan menyekat penerbangan masuk dan keluar dari lapangan terbang sekali lagi bermula Selasa, sekali gus memberi makna lebih banyak gangguan bakal berlaku.