SEGAMAT: Sebanyak 214 buah rumah di Felda Palong 1, Felda Palong Timur 2, Felda Palong Timur 3 dan Kampung Bakar Batu, dekat sini rosak dalam kejadian ribut pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, bagaimanapun kejadian pada jam 4.45 petang itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

"Pemeriksaan mendapati 101 buah rumah di Felda Palong Timur 3, 68 rumah di perumahan kilang sawit, 29 rumah di Felda Palong 1, 13 rumah di Felda Palong 2 dan tiga rumah di Kampung Bakar Batu mengalami kerosakan.

"Sehingga jam 11 pagi tadi anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat hanya menerima enam laporan polis daripada mangsa berkaitan kejadian ribut yang melanda," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan keadaan cuaca semasa yang tidak menentu dan segera memaklumkan kepada pihak polis berkaitan kejadian bencana untuk tindakan dan bantuan dapat segera diaturkan.

Sebarang maklumat katanya, boleh menghubungi pusat kawalan daerah Segamat menerusi talian 07-9324222. - Sinar Harian