DUNIA
Pungutan suara di Itali dijangka gagal akibat peratusan keluar mengundi rendah

Gabungan parti sayap kanan yang memerintah di bawah Perdana Menteri Giorgia Meloni menasihati penyokong mereka agar tidak mengambil bahagian. - AP
ROM: Siri pungutan suara berkaitan imigresen dan undang-undang buruh di Itali dijangka gagal disebabkan kadar keluar mengundi yang rendah, menurut angka rasmi yang dikeluarkan pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Angka rasmi menunjukkan kurang daripada 25 peratus daripada lebih 51 juta pengundi berdaftar di Itali mengundi pada Ahad.
Pada Isnin, iaitu hari terakhir pengundian bagi langkah itu, kehadiran ke pusat mengundi juga masih rendah.
Untuk keputusan pungutan suara ini dianggap sah, kadar keluar mengundi harus sekurang-kurangnya 50 peratus. Masa semakin suntuk kerana pusat pengundian akan ditutup pada 3 petang (1300 GMT).Pungutan suara ini memberi tumpuan khusus kepada undang-undang buruh iaitu perlindungan lebih baik terhadap pemecatan, bayaran pampasan yang lebih tinggi, penghapusan kontrak sementara, serta isu liabiliti sekiranya berlaku kemalangan di tempat kerja.
Isu kelima ialah memberi peluang kepada rakyat untuk menentukan sama ada individu dari negara luar Kesatuan Eropah boleh diberikan kewarganegaraan selepas lima tahun tinggal di Itali. Pada masa ini, tempoh minimum yang diperlukan ialah sekurang-kurangnya 10 tahun.
Pada Ahad, ketika pengundian dibenarkan sehingga 11 malam, kadar keluar mengundi hanya 22 peratus, menurut Kementerian Dalam Negeri. Ini menjadikan kemungkinan untuk mencapai kuorum 50 peratus hampir mustahil. Pada Isnin, hanya tinggal lapan jam lagi untuk mengundi.
Daripada 78 pungutan suara yang pernah diadakan di Itali setakat ini, kebanyakannya gagal disebabkan kadar keluar mengundi yang rendah.
Pungutan suara kali ini dicetuskan oleh kesatuan sekerja dan pembangkang berhaluan kiri.
Gabungan parti sayap kanan yang memerintah di bawah Perdana Menteri Giorgia Meloni menasihati penyokong mereka agar tidak mengambil bahagian. Meloni sendiri hadir ke pusat mengundi tetapi tidak mengundi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami