KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili mengagalkan cubaan menyeludup keluar 20 kilogram (kg) syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar, di perairan Johor Timur, di sini, pada 8 April lepas.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata dadah itu berjaya dirampas selepas bot ronda yang menerima maklumat risikan mengesan sebuah bot gentian kaca dinaiki dua individu dalam kejadian pada 9.40 malam.
Advertisement
"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot tersebut dilihat berpatah balik dan memecut laju ke arah pantai bagi mengelak daripada ditahan," katanya pada sidang media di Zon Maritim Tanjung Sedili, di sini, hari ini.
Beliau berkata aksi mengejar berlaku hampir 10 minit sebelum kedua individu itu bertindak terjun ke laut kira-kira 700 meter dari pantai dan melarikan diri ke arah pantai berkenaan.
Mohd Najib berkata pihaknya sedang mengesan dua individu berkenaan, sekali gus tidak menolak kemungkinan dadah itu cuba dihantar kepada penyeludup lain di tengah laut.
Ini, katanya, berikutan lokasi dari pantai ke negara jiran berdekatan adalah jauh iaitu sekitar 30 hingga 40 batu dengan kekuatan enjin yang digunakan adalah rendah iaitu 85 kuasa kuda.
Beliau berkata kesemua bahan terlarang itu diletakkan di dalam sebuah beg di dalam bot berkenaan dan pihaknya turut merampas bot beserta enjin bernilai RM40,000 itu.
Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
--BERNAMA