KUALA LUMPUR: Pusat batik dan oleh-oleh terkenal, Hamzah Batik yang terletak di kawasan Malioboro, Kota Yogyakarta, Indonesia, dilaporkan terbakar dalam kejadian awal pagi ini.
Memetik laporan beberapa media tempatan, kebakaran membabitkan premis tiga tingkat itu berlaku kira-kira 1.30 pagi waktu Indonesia Barat (WIB).
Menurut Ketua Seksyen Perhubungan Awam Polresta Yogyakarta, Iptu Dani Hasan, kebakaran berlaku ketika seorang saksi bersama rakannya sedang menjalankan kerja-kerja membaiki bilik air di tingkat tiga premis berkenaan.
Katanya, sebanyak 12 unit jentera pemadam kebakaran dikerahkan bagi memadamkan kebakaran, selain dibantu sebuah kenderaan 'water cannon' milik Polresta Yogyakarta serta sebuah trak pemadam kebakaran milik Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Dalam perkembangan sama, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada awal pagi, menurut pihak Pemadam Kebakaran Kota Yogyakarta.
Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Hamzah Batik yang terletak berhadapan Pasar Beringharjo merupakan antara pusat batik dan oleh-oleh yang terkenal di kawasan Malioboro, selain menjadi salah satu destinasi pelancongan budaya di Yogyakarta.
Premis berkenaan menawarkan pelbagai produk termasuk pakaian dan kain batik, kraftangan, cenderamata serta makanan ringan dan turut menjadi antara lokasi pilihan pelancong, termasuk dari Malaysia.
Selain aktiviti membeli-belah, Hamzah Batik turut menampilkan unsur budaya Jawa menerusi pelbagai pertunjukan seni dan kebudayaan.