GENEVA: Pusingan ketiga rundingan damai tiga hala yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) antara Ukraine dan Rusia bersambung di Geneva pada Rabu selepas sesi awal yang berlangsung lebih empat jam, lapor Anadolu Ajansi.
Rundingan itu yang dikendalikan oleh utusan khas Presiden AS Donald Trump, Steve Witkoff, dan menantu Trump, Jared Kushner, berlangsung seminggu sebelum ulang tahun keempat perang Rusia-Ukraine ketika serangan masih berterusan.
Advertisement
Delegasi Rusia diketuai pembantu presiden Vladimir Medinsky, menggantikan pegawai kanan tentera yang mengetuai pusingan sebelum ini di Abu Dhabi.
Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov, menjelang pertemuan itu, berkata rundingan akan merangkumi “skop isu yang lebih luas,” termasuk “isu utama berkaitan wilayah,” yang disifatkannya sebagai teras tuntutan Moscow.
Delegasi Ukraine diketuai Setiausaha Majlis Keselamatan dan Pertahanan Negara, Rustem Umerov. “Kami mempunyai rangka kerja yang dipersetujui oleh Presiden Ukraine (Volodymyr Zelenskyy) dan mandat yang jelas. Isu keselamatan dan kemanusiaan berada dalam agenda,” kata Umerov sebelum ini.
Mengesahkan rundingan bersambung pada pagi Rabu, Umerov berkata menerusi syarikat media sosial AS, Facebook, bahawa perbincangan berlangsung dalam “kumpulan kerja mengikut bidang dalam landasan politik dan ketenteraan.”
“Kami sedang memperincikan parameter dan mekanisme keputusan yang dibincangkan semalam. Kami memberi tumpuan kepada kerja yang substantif. Kami akan memberikan maklumat tambahan mengenai hasilnya,” tambah beliau.
Umerov berkata lewat Selasa bahawa beliau telah menyelesaikan satu pertemuan berasingan dengan wakil AS dan rakan Eropah termasuk Perancis, United Kingdom, Jerman, Itali dan Switzerland bagi menyelaraskan pendekatan untuk langkah seterusnya.
Sementara itu, media Rusia yang memetik sumber dalam delegasi negara itu menyifatkan rundingan sebagai “sangat tegang,” dan melaporkan bahawa hubungan berasingan Rusia-AS turut berlangsung selari dengan format tiga hala itu.
Bagi pihak AS, Witkoff memuat naik di X bahawa rundingan antara Ukraine dan Rssia telah “membawa kemajuan bermakna” ke arah menamatkan perang.
“Kejayaan Presiden Trump dalam membawa kedua-dua pihak dalam perang ini ke meja rundingan telah menghasilkan kemajuan bermakna, dan kami berbangga dapat berkhidmat di bawah kepimpinannya untuk menghentikan pertumpahan darah dalam konflik yang dahsyat ini,” tulisnya.
Rundingan itu diadakan secara tertutup tanpa sebarang kenyataan segera dijangka dikeluarkan.
-- BERNAMA-ANADOLU