Putera Mahkota Iran bangkit sebagai figura protes selepas puluhan tahun dalam buangan

Gambar fail menunjukkan Reza Pahlavi menjawab soalan wartawan pada sidang media sekitar Jun tahun lalu. - Gambar fail AP
DUBAI: Ketika Iran berdepan gelombang ketidakstabilan baharu selepas bertahun-tahun tekanan ekonomi dan konflik, Reza Pahlavi sedang berusaha memposisikan dirinya sebagai alternatif kepada Republik Islam.
Beliau telah hidup dalam buangan hampir 50 tahun.
Ayahandanya – Shah Iran – begitu dibenci sehingga jutaan rakyat turun ke jalan pada 1979, memaksanya berundur.
Namun begitu, Putera Mahkota Iran, Reza Pahlavi, kini cuba menempatkan dirinya sebagai pemain dalam masa depan negaranya.
Pahlavi berjaya menggerakkan penunjuk perasaan turun ke jalan pada Khamis (9 Jan) malam, satu peningkatan besar dalam protes yang melanda Iran.
Bermula daripada ekonomi Republik Islam yang tenat, demonstrasi tersebut kini menjadi cabaran serius kepada pemerintahan teokrasi, yang telah dibadai oleh protes di seluruh negara selama bertahun-tahun dan perang 12 hari pada Jun yang dilancarkan Israel sehingga menyaksikan AS mengebom tapak pengayaan nuklear.
Apa yang tidak diketahui ialah sejauh mana sokongan sebenar terhadap Pahlavi, 65, yang kini hidup dalam buangan di AS, di tanah airnya sendiri.
Adakah para penunjuk perasaan mahukan kembalinya Peacock Throne – gelaran kepada pemerintahan ayahandanya – atau mereka sekadar mahukan apa sahaja selain teokrasi Syiah Iran?
Pahlavi mengeluarkan seruan, yang disiarkan semula oleh saluran satelit berbahasa Farsi dan laman web luar negara, agar rakyat Iran kembali turun ke jalan pada malam Jumaat.
“Sepanjang dekad lalu, gerakan protes Iran dan komuniti penentang semakin berteras kepada nasionalisme dari segi nada dan sifatnya,” kata Behnam Ben Taleblu, pakar Iran dari Foundation for Defence of Democracies yang berpangkalan di Washington dan berdepan sekatan daripada Tehran.
“Semakin Republik Islam gagal, semakin ia menguatkan antitesisnya. … kejayaan Putera Mahkota dan pasukannya adalah dalam melakar perbezaan yang jelas antara kebiasaan masa lalu dan janji masa depan, berbanding mimpi ngeri serta kemelut semasa yang menjadi realiti bagi ramai rakyat Iran.”
Profil Pahlavi kembali meningkat ketika penggal pertama Presiden Donald Trump.
Namun, Trump dan pemimpin dunia lain kekal berhati-hati untuk merangkulnya, mengambil iktibar daripada banyak kisah amaran di Asia Barat dan tempat lain apabila kerajaan Barat meletakkan harapan kepada tokoh buangan yang sudah lama terpisah daripada tanah air mereka.
Media rasmi Iran, yang bertahun-tahun mengejek Pahlavi sebagai terasing dan korup, menyalahkan “elemen pengganas monarki” atas demonstrasi Khamis malam yang menyaksikan kenderaan dibakar dan pondok polis diserang.
Dilahirkan dalam kemewahan
Dilahirkan pada 31 Oktober 1960, Pahlavi membesar dalam dunia serba mewah sebagai Putera mahkota kepada Shah Mohammad Reza Pahlavi.
Mohammad Reza mewarisi takhta daripada ayahandanya, seorang pegawai tentera yang merampas kuasa dengan sokongan British.
Pemerintahan Mohammad Reza diperkukuh oleh rampasan kuasa yang disokong CIA pada 1953, dan beliau bekerjasama rapat dengan Amerika, yang menjual senjata bernilai berbilion dolar kepada pemerintah autokrat itu serta menjalankan aktiviti perisikan terhadap Kesatuan Soviet dari Iran.
Pahlavi bersekolah di Sekolah Reza Pahlavi yang dinamakan sempena dirinya, didirikan di dalam kompleks Istana Niavaran di utara Tehran.
Seorang penulis biografi ayahandanya mencatatkan bahawa Putera Mahkota pernah memainkan muzik rock di istana semasa kunjungan Malam Tahun Baharu oleh Presiden AS ketika itu, Jimmy Carter.
Namun, kejatuhan Peacock Throne semakin hampir.
Walaupun berjaya memanfaatkan kenaikan harga minyak pada 1970-an, ketidaksamaan ekonomi yang mendalam mula berakar dalam pemerintahan Shah dan agensi perisikan yang ditakuti, SAVAK, menjadi terkenal kerana penyeksaan terhadap penentang.
Jutaan rakyat di seluruh negara menyertai protes menentang Shah, menghimpunkan golongan kiri sekular, kesatuan pekerja, profesional, pelajar dan ulama Islam.
Ketika krisis memuncak, Shah ditakdirkan tumbang oleh ketidakupayaannya bertindak dan keputusan yang lemah, sementara secara diam-diam bergelut dengan kanser tahap akhir.
Pada 1978, Putera Mahkota Reza meninggalkan tanah air untuk mengikuti sekolah penerbangan di pangkalan udara AS di Texas.
Setahun kemudian, ayahandanya melarikan diri dari Iran ketika detik awal Revolusi Islam.
Ulama Syiah menyingkirkan kumpulan anti-Shah lain, menubuhkan kerajaan teokratik baharu yang mengeksekusi ribuan orang selepas revolusi dan sehingga kini kekal antara negara dengan jumlah hukuman mati tertinggi di dunia.
Selepas kematian ayahandanya, mahkamah diraja dalam buangan mengumumkan Reza Pahlavi mengambil alih peranan sebagai shah pada 31 Oktober 1980, ulang tahun ke-20 kelahirannya.
“Saya memahami dan bersimpati dengan penderitaan serta sengsara batin anda,” kata Pahlavi, menyampaikan ucapan selama 11 minit kepada rakyat Iran ketika itu.
“Saya menitis air mata yang terpaksa anda sembunyikan. Namun saya pasti ada cahaya di sebalik kegelapan. Jauh di lubuk hati, anda yakin mimpi ngeri ini, seperti yang lain-lain dalam sejarah kita, akan berlalu.”
Puluhan tahun dalam buangan
Namun selepas itu, yang berlaku adalah hampir lima dekad hidup dalam buangan.
Pahlavi cuba membina pengaruh di luar negara.
Pada 1986, The Washington Post melaporkan bahawa CIA membekalkan sekutu sang putera dengan “pemancar televisyen bersaiz mini untuk siaran sulit selama 11 minit” ke Iran oleh Pahlavi yang memintas isyarat dua stesen di Republik Islam.
“Saya akan kembali dan bersama-sama kita akan merintis jalan menuju kebahagiaan dan kemakmuran negara melalui kebebasan,” kata Pahlavi dalam siaran tersebut, menurut laporan.
Namun, perkara itu tidak menjadi kenyataan.
Pahlavi kebanyakannya tinggal di Amerika Syarikat – di Los Angeles dan Washington, DC – manakala ibunya, Shahbanu Farah Pahlavi, menetap di Paris.
Lingkaran setia monarki Iran dalam buangan sejak lama menyanjung impian dinasti Pahlavi kembali berkuasa.
Tetapi Pahlavi terbantut untuk meraih tarikan lebih luas kerana beberapa faktor: memori pahit terhadap pemerintahan ayahandanya; tanggapan bahawa beliau dan keluarganya terpisah dari realiti tanah air serta penindasan di dalam Iran yang menyasarkan untuk membisukan sebarang sentimen pembangkang.
Pada masa sama, generasi muda di Iran yang lahir puluhan tahun selepas tamatnya pemerintahan Shah melalui pengalaman berbeza – sekatan sosial dan penindasan keras oleh Republik Islam, serta kegawatan ekonomi akibat sekatan antarabangsa, rasuah dan salah urus.
Pahlavi berusaha menyuarakan pendirian melalui video di media sosial, selain saluran berita berbahasa Farsi seperti Iran International yang memberi liputan kepada seruan protesnya.
Saluran itu turut menyiarkan kod QR yang membawa kepada maklumat untuk anggota keselamatan dalam Iran bekerjasama dengannya.
Dalam temu bual beberapa tahun kebelakangan ini, Pahlavi mengutarakan idea monarki berperlembagaan, mungkin dengan pemerintah dipilih dan bukan turun-temurun.
Namun, beliau turut menegaskan bahawa keputusan akhirnya terletak pada rakyat Iran.
“Rejim ini memang tidak boleh direformasi kerana sifatnya, DNA-nya, sedemikian rupa sehingga ia mustahil,” kata Pahlavi kepada Associated Press pada 2017.
“Rakyat telah berputus asa dengan idea reformasi dan mereka fikir mesti ada perubahan menyeluruh. Kini, bagaimana perubahan itu boleh berlaku adalah persoalan besar.”
Beliau juga berdepan kritikan kerana sokongan beliau kepada dan dari Israel, khususnya selepas perang Jun.
“Fokus saya sekarang adalah membebaskan Iran, dan saya akan mencari apa sahaja cara yang saya boleh, tanpa mengorbankan kepentingan kebangsaan dan kedaulatan, dengan sesiapa sahaja yang sudi membantu kami, sama ada AS, Saudi, Israel atau sesiapa pun,” katanya pada 2017. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


