KOTA KINABALU: Sebuah syarikat bersama pengarah dan ahli lembaga pengarahnya didenda RM48,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 48 pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan sebanyak RM2,178,939.69 antara 2019 hingga 2022.
Hakim Hurman Hussain menjatuhkan hukuman denda itu terhadap ZBN Group Holdings Sdn Bhd, pengarahnya Zulnizar Norsinin, 41, serta Ahli Lembaga Pengarah Rubiah Ahmad, 62, yang juga ibu Zulnizar.
Advertisement
Masing-masing berdepan 16 pertuduhan mengikut Seksyen 26(4) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 26(8) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.
Hurman menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM16,000 terhadap syarikat itu, Zulnizar dan Rubiah dan memerintahkan tunggakan cukai tersebut dibayar kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam tempoh 24 bulan.
Mahkamah turut memerintahkan Zulnizar dan Rubiah yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya mereka gagal menjelaskan denda tersebut.
Terdahulu, Zulnizar dalam rayuannya memohon denda dikurangkan berikutan aliran tunai syarikat terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, manakala Rubiah memaklumkan syarikat itu kini tidak lagi mampu menjana pendapatan.
Pegawai Pendakwa JKDM Azizah Talibe ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata jumlah keseluruhan cukai dan penalti terkini syarikat terbabit adalah RM2,908,548.81 dan syarikat itu telah membayar RM729,609.12.
-- BERNAMA