Skip to main content

Dunia

Puteri Diana pernah terluka, kini Harry dan Meghan menanggung derita yang sama - Earl Spencer

[TB]_Puteri Diana & Putera Harry & Meghan Markle_AP_REUTERS
Earl Spencer mendakwa, tekanan media yang dihadapi Putera Harry dan Meghan Markle ketika ini mengingatkannya kepada pengalaman pahit Puteri Diana semasa hayatnya. - Gambar fail/ Agensi
Advertisement

LONDON: Adik mendiang Puteri Diana, Earl Spencer menyifatkan layanan media terhadap Putera Harry dan Meghan Markle sebagai sesuatu yang bersifat “merosakkan”, sambil menggesa masyarakat mengambil iktibar daripada penderitaan yang pernah dialami kakaknya.

Dalam wawancara bersama BBC di estet keluarganya di Althorp, beliau mendakwa, tekanan media yang dihadapi Duke dan Duchess of Sussex ketika ini mengingatkannya kepada pengalaman pahit Puteri Diana semasa hayatnya.

Pasangan Sussex yang baru pulang ke United Kingdom (UK) dari California selepas enam tahun meninggalkan tugas rasmi diraja, sejak sekian lama lantang mengkritik layanan media British terhadap mereka.

Ketika ditanya sama ada Diana akan memahami tekanan dan penelitian yang dihadapi Harry dan Meghan, Earl Spencer berkata, laporan tabloid mengenai mereka sering kali bersifat kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Jika anda melihat artikel tabloid mengenai Diana atau Harry dan Meghan, ia boleh menjadi amat, amat tidak menyenangkan.

“Saya fikir masyarakat perlu mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku kepada Diana,” katanya.

Beliau menjelaskan tidak bercakap bagi pihak Harry dan Meghan, namun percaya sesiapa yang menjadi sasaran liputan negatif secara berterusan akan menanggung beban emosi yang berat.

Menurutnya, beliau pernah melihat sendiri “air mata kekecewaan” Diana apabila berbicara mengenai kesan liputan media terhadap dirinya.

“Diana sangat sensitif terhadap kritikan. Semua kecaman itu benar-benar menjatuhkannya,” katanya.

Earl Spencer berkata, apa yang dialami kakaknya suatu ketika dahulu kini seolah-olah berulang terhadap Putera Harry dan isterinya.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa dirinya memihak kepada Harry dalam pertelingkahan keluarga diraja, sebaliknya menegaskan sokongannya diberikan kepada kedua-dua anak lelaki Diana termasuk Putera William.

“Saya berada di pihak kedua-dua anak lelaki kakak saya. Jika mana-mana daripada mereka memerlukan apa-apa, saya akan sentiasa ada untuk membantu,” katanya.

Image
Charles Spencer, the brother of Britain's late Princess Diana is interviewed by journalist Laura Kuenssberg, as part of the documentary "Princess Diana: My Sister’s Story" at the Althorp Estate, Britain, in this handout picture released on September 19, 2026. Jeff Overs/BBC/Handout via REUTERS
Menurut Earl Spencer, beliau pernah melihat sendiri “air mata kekecewaan” Diana apabila berbicara mengenai kesan liputan media terhadap dirinya. - Gambar Reuters

Puteri Diana menjadi perhatian media antarabangsa sepanjang hayatnya sebelum terkorban dalam nahas jalan raya di Paris pada 31 Ogos 1997.

Dalam ucapan penghormatan sempena pengebumian Diana, Earl Spencer pernah menuduh media menjalankan “usaha berterusan untuk menjatuhkannya”, selain mendakwa akhbar berasa terancam dengan sifat baik hati yang dimiliki mendiang.

Kenyataannya mengenai Harry dan Meghan hadir beberapa minggu selepas pasangan itu kembali ke UK.

Dalam wawancara bersama Oprah Winfrey pada 2021, Putera Harry menuduh media tabloid mewujudkan persekitaran yang “toksik”, dipenuhi unsur kawalan dan ketakutan.

Meghan pula, menerusi siri dokumentari Netflix pada 2022, mendakwa media tetap mencari jalan untuk “menghancurkannya” walaupun beliau telah berusaha melakukan yang terbaik.

Pada Julai lalu, Putera Harry bersama enam individu lain, termasuk pelakon Liz Hurley dan penyanyi Elton John, tewas dalam kes privasi terhadap penerbit Daily Mail, sekali gus berdepan risiko menanggung kos guaman sehingga 34.5 juta pound sterling.

Bagaimanapun, dalam beberapa tindakan undang-undang terdahulu, Duke of Sussex itu berjaya memperoleh kemenangan terhadap Mirror Group serta mencapai penyelesaian di luar mahkamah dengan News Group yang melibatkan pampasan dan permohonan maaf.

Sementara itu, wawancara Earl Spencer turut menyentuh pertikaian terbaharunya dengan Istana Buckingham berhubung dakwaan mengenai perbualan telefon bersama Raja Charles III beberapa hari selepas kematian Diana.

Beliau sebelum ini mendakwa Raja Charles pernah berkata bahawa orang ramai akan “melupakan Diana tidak lama lagi”, dakwaan yang dinafikan secara tidak langsung menerusi kenyataan rasmi istana.

Earl Spencer menegaskan, beliau tetap berpegang kepada kenyataan itu.

“Saya hanya pernah bercakap melalui telefon dengan Putera Charles sebanyak dua kali sepanjang hidup saya.

“Ketika itu saya sangat peka terhadap setiap perkataannya dan itulah tepat apa yang beliau katakan,” ujarnya.

Ketika diminta mengemukakan bukti, beliau berkata perkara itu telah diceritakan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan sejurus selepas perbualan tersebut kerana menganggapnya sesuatu yang mengejutkan.

Beliau turut mendakwa kenyataan balas pihak istana cuba menimbulkan keraguan terhadap ingatannya, namun tetap menegaskan: “Saya bercakap benar.”

Dalam temu bual berasingan dengan Mail on Sunday, Earl Spencer turut menuduh Raja Charles melakukan manipulasi psikologi melalui kenyataan rasmi istana yang menyangkal dakwaannya.

Buku baharu beliau berjudul Swan Song: Diana, My Sister dijadual diterbitkan minggu depan dan dijangka mengandungi kritikan terhadap keluarga diraja Britain.

Dalam petikan awal yang diterbitkan minggu lalu, Earl Spencer turut mendakwa Raja Charles kedengaran “terlalu gembira” ketika menghubunginya selepas kematian Diana, satu dakwaan yang ditolak rakan rapat baginda, Dame Julia Cleverdon.

Menurut Dame Julia, dakwaan itu tidak mencerminkan keadaan sebenar Raja Charles yang amat terkesan dengan kehilangan Diana serta sentiasa menunjukkan sokongan dan keprihatinan terhadap keluarga mendiang. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement