Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan dimohon mengekalkan 12 waktu pengajaran Bahasa Tamil seminggu di SJKT, berbanding cadangan pengurangan kepada 10 waktu mulai 2027.
- Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan, menyuarakan kebimbangan masyarakat dan menghantar surat rasmi kepada Menteri Pendidikan serta Perdana Menteri.
- Saravanan menyokong modul Pembentukan Karakter tetapi mencadangkan ia dimasukkan dalam waktu Pendidikan Moral sedia ada tanpa mengurangkan waktu Bahasa Tamil.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) dimohon mengekalkan 12 waktu pengajaran Bahasa Tamil seminggu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) susulan cadangan untuk mengurangkannya kepada 10 waktu di bawah penstrukturan semula kurikulum persekolahan 2027.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata perkara itu dibangkitkan dalam surat kepada Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, dengan salinan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam surat bertarikh 4 Nov itu yang turut dikongsikan kepada Bernama, Saravanan berkata cadangan berkenaan turut mendapat perhatian guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat India.
Beliau berkata sekolah Tamil berperanan penting dalam memelihara bahasa ibunda, warisan dan identiti budaya masyarakat itu.
"Waktu pengajaran bahasa ibunda sedia ada tidak sepatutnya dikurangkan atau dikorbankan bagi memberi ruang kepada mata pelajaran atau modul baharu," katanya.
Dalam pada itu, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah menyokong cadangan KPM memperkenalkan modul Pembentukan Karakter, namun mencadangkan supaya kandungannya dimasukkan dalam waktu mata pelajaran Pendidikan Moral sedia ada.
Beliau berharap kementerian dapat meneliti semula cadangan berkenaan serta mengekalkan atau menambah peruntukan 12 waktu seminggu bagi pengajaran Bahasa Tamil di SJKT.
-- BERNAMA