MARANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu menyiapkan 541 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri, sebagai persiapan menghadapi bencana banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarahnya Ismail Kasan berkata PPS itu termasuk sekolah, balai raya, masjid, surau dan pusat komuniti, yang dipastikan berada dalam keadaan selamat serta dilengkapi dengan kemudahan asas, stok bekalan makanan dan kelengkapan asas mencukupi.
Beliau berkata berkata persiapan di PPS menjadi antara perkara yang menjadi keutamaan JKM, dalam memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa banjir sentiasa terpelihara serta dalam keadaan selesa.
“Kita sudah kenal pasti sebanyak 843 buah PPS di seluruh negeri. Yang aktif sebanyak 541 buah dan mampu menampung kira-kira 141,000 mangsa banjir. Selain itu kita ada Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang, Hulu Terengganu yang boleh menampung lebih 200 mangsa banjir pada satu-satu masa.
“PPS aktif maksudnya yang sudah siap siaga untuk terima mangsa banjir. Kita pastikan semua kemudahan asas lengkap dan stok bekalan makanan serta keperluan, juga disimpan dengan secukupnya di pangkalan hadapan atau stor mini berdekatan,” katanya ketika ditemui Bernama di Depoh Simpan Keperluan Bencana JKM, dekat sini.
Ismail berkata pihaknya juga sudah mengenal pasti kawasan berisiko banjir yang mempunyai ramai warga emas, orang kurang upaya dan pesakit yang memerlukan bantuan sewajarnya.
Malah beliau berkata persiapan di PPS turut mengambil kira penyediaan ruang yang mesra OKU, warga emas atau pesakit terlantar, yang memerlukan kemudahan khas.
“Kita juga dah ada data-data berkaitan dan kenal pasti mana-mana kawasan yang ramai warga emas, OKU, pesakit terlantar dan sebagainya. Oleh itu persiapan di PPS kita dah ada penyediaan ruang yang bersesuaian dengan keadaan mereka.
“Selain itu kita ada agensi lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), yang akan membantu dari semua aspek termasuk pemindahan, kesihatan, keselamatan dan sebagainya. JKM juga mempunyai 32 aset termasuk bot, lori dan kenderaan pacuan empat roda yang bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa,” katanya.
Selain itu Ismail berkata pihaknya juga menyediakan khidmat 11 orang pegawai kaunseling dan 36 anggota Pasukan Sokongan Psikologi (PST) untuk pengurusan emosi, intervensi krisis serta sokongan psikologi kepada mangsa banjir.
Beliau berkata penggemblengan sumber manusia amat penting, bagi membantu pelaksanaan tugas di PPS, penyelarasan bantuan kebajikan, pengurusan mangsa bencana serta pemberian sokongan psikososial kepada mangsa serta keluarga terjejas bencana.
“Kita ada 350 orang kakitangan dan 402 sukarelawan JKM, yang siap sedia menyokong pelaksanaan operasi pengurusan bencana mengikut keperluan dan arahan semasa. Pembekuan cuti akan dijalankan sekiranya situasi memerlukan.
“Bilik gerakan banjir negeri Terengganu akan dibuka apabila berlaku bencana di dua daerah. Jika banjir berlaku di satu daerah sahaja, bilik gerakan daerah secara dalaman sahaja akan diaktifkan,” katanya.
Dalam pada itu beliau menasihatkan penduduk di kawasan berisiko banjir, supaya mendaftarkan diri di aplikasi MyIBJKM bagi memudahkan urusan pengurusan dan penyaluran bantuan sekiranya terlibat dalam bencana.
-- BERNAMA