DUNIA
Putin kecam serangan ke atas Iran sebagai "pencerobohan tanpa provokasi" dan tiada justifikasi

Presiden Rusia Vladimir Putin (kiri) semasa pertemuan dengan Menteri Luar Iran Abbas Araghchi di Moscow. - Foto Sputnik/Alexander Kazakov/Pool via REUTERS
ISTANBUL: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Isnin menyifatkan serangan ke atas Iran sebagai "pencerobohan tanpa provokasi" dan tiada sebarang justifikasi, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Presiden Rusia Vladimir Putin mengecam serangan ke atas Iran sebagai pencerobohan tanpa provokasi dan tiada justifikasi.
- Rusia nyatakan sokongan kepada Iran dalam ketegangan dengan AS dan Israel yang menyerang kemudahan nuklear Iran.
- Hubungan Rusia-Iran disifatkan rapat dan strategik, dengan kedua-dua pihak bincang penyelesaian terhadap konflik semasa.
Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) menyerang tiga tapak nuklear Iran awal pagi Ahad, dengan Presiden Donald Trump mendakwa ia menyebabkan kerosakan besar dan "pemusnahan."
Putin berkata Rusia dan Iran mempunyai hubungan "lama, baik dan boleh dipercayai", dan pendirian Moscow mengenai ketegangan semasa sudah diketahui umum.
"Dari pihak kami, kami sedang berusaha memberikan bantuan kepada rakyat Iran," kata Putin sambil meminta Menteri Luar Iran itu menyampaikan salamnya kepada rakan sejawat Masoud Pezeshkian dan Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.
"Saya sangat gembira anda berada di Moscow hari ini. Ini memberi kita peluang untuk membincangkan semua isu sensitif ini dan bersama-sama memikirkan cara untuk keluar daripada situasi semasa," katanya.
Sementara itu, Araghchi berkata ketegangan di Timur Tengah semakin memuncak setiap hari akibat keputusan AS dan Israel menyerang kemudahan nuklear Iran.
"Hubungan kami sangat rapat dan baik. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia telah menjadi strategik," kata Araghchi sambil menambah bahawa Moscow berada di "pihak yang benar dalam sejarah dan undang-undang antarabangsa."
Beliau turut berterima kasih kepada Rusia kerana mengecam "tindakan agresif oleh Israel dan Amerika Syarikat."
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami