Skip to main content

Dunia

Putin mengaku konflik Ukraine 'sukar', isyarat baharu dalam rundingan dengan wakil Trump

Russian President Vladimir Putin shakes hands with Jared Kushner, U.S. President Donald Trump's son-in-law, as U.S. Special Envoy Steve Witkoff stands nearby during a meeting at the Kremlin in Moscow, Russia, September 5, 2026. Sputnik/Mikhail Metzel/Pool via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY. TPX IMAGES OF THE DAY
Presiden Putin berjabat tangan dengan menantu Presiden Trump, Jared Kushner sambil diperhatikan oleh Steve Witkoff pada pertemuan di Kremlin, Moscow, pada Sabtu. - Gambar Reuters
Advertisement

MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin mengakui konflik di Ukraine berada dalam keadaan yang "sukar" ketika menerima kunjungan dua Utusan Khas Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff dan Jared Kushner, di Kremlin pada Sabtu.

Pada permulaan pertemuan itu, Putin turut memuji usaha Presiden AS, Donald Trump yang terus berusaha mencari penyelesaian bagi menamatkan perang yang telah berlarutan lebih empat tahun setengah.

Menurut Putin, Trump tidak pernah berhenti mencari jalan untuk membantu mencapai penyelesaian konflik walaupun berdepan cabaran yang kompleks.

"Beliau memahami bahawa situasi ini sukar, namun tetap meneruskan usaha untuk membantu mewujudkan penyelesaian dan menyumbang kepada penyelesaian konflik Rusia-Ukraine," katanya.

Trump pada Jumaat dilaporkan memaklumkan bahawa Washington mempunyai cadangan baharu bagi menamatkan peperangan itu, namun tidak mendedahkan butiran lanjut.

Seperti beberapa rundingan terdahulu, Putin ditemani penasihat dasar luarnya, Yuri Ushakov serta utusan pelaburan Rusia, Kirill Dmitriev yang mengiringi kedua-dua wakil AS itu sejak ketibaan mereka di Moscow.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, Putin telah mengarahkan tentera Rusia supaya tidak melancarkan serangan ke atas Kyiv selama tiga hari bermula tengah malam Sabtu, sempena lawatan Witkoff dan Kushner ke ibu negara Ukraine.

Dalam masa sama, Putin memaklumkan, intensiti serangan Ukraine ke atas Rusia turut berkurangan dan memberi jaminan keselamatan kepada kedua-dua perunding AS sepanjang misi mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, Rusia masih belum bersetuju dengan cadangan gencatan senjata yang lebih meluas selama tiga hari.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pula berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan kedua-dua utusan AS itu dan menyatakan kesediaan Kyiv untuk tidak melancarkan serangan ke atas Moscow sehingga Isnin.

Walaupun terdapat beberapa isyarat de-eskalasi, jurang pendirian antara Rusia dan Ukraine berhubung syarat menamatkan perang masih sangat besar.

Kementerian Pertahanan Rusia melaporkan sebanyak 53 dron Ukraine dikesan memasuki ruang udara negara itu pada Sabtu, jauh lebih rendah berbanding purata serangan yang direkodkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Moscow pada masa sama meraikan Hari Bandar Raya dengan ratusan ribu penduduk mengambil bahagian dalam pelbagai acara terbuka di seluruh bandar tersebut.

Sumber yang rapat dengan Kremlin berkata, Putin masih berhasrat menguasai lebih banyak wilayah Ukraine, khususnya baki kawasan di wilayah Donetsk yang belum dikuasai sepenuhnya.

Menurut sumber itu, kepimpinan Rusia yakin objektif berkenaan mampu dicapai sebelum penghujung tahun berdasarkan laporan yang diterima daripada para komander tenteranya.

Namun, penganalisis ketenteraan Barat menyifatkan sasaran tersebut sukar dicapai memandangkan kemaraan tentera Rusia yang masih perlahan di medan perang.

Ukraine pula terus menolak sebarang tuntutan menyerahkan wilayah yang dipertahankan dengan kos yang tinggi, dan menganggap syarat sedemikian sebagai menyerah kalah kepada Moscow.

Pada Jumaat, Kremlin menegaskan pendirian yang diumumkan Putin dua tahun lalu kekal tidak berubah, termasuk tuntutan agar Ukraine menyerahkan keseluruhan empat wilayah yang didakwa milik Rusia serta menggugurkan hasrat menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Sejak rundingan damai terakhir pada Februari, kedua-dua pihak meningkatkan serangan udara jarak jauh ke wilayah masing-masing, selain menyaksikan ketegangan di laut turut bertambah.

Di medan darat, garis hadapan perang tidak banyak berubah, dengan Rusia hanya mencatatkan kemajuan secara berperingkat dalam usaha menguasai sepenuhnya wilayah Donbas di timur Ukraine.

Sementara itu, serangan dron Ukraine ke atas loji penapisan minyak Rusia menyebabkan gangguan bekalan bahan api dan kenaikan harga di negara itu sepanjang musim panas, selain memberi kesan kepada sektor pengguna selepas beberapa siri serangan terhadap gudang milik syarikat peruncitan dalam talian terbesar Rusia, Wildberries. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement