INTERNATIONAL
Putin tidak tersenarai hadir rundingan damai Ukraine di Turkiye

Presiden Putin dilaporkan tidak tersenarai dalam senarai pegawai Kremlin yang akan menghadiri rundingan damai berhubung perang di Ukraine yang dijadual berlangsung di Istanbul, Turkiye, hari ini. - Gambar Reuters
ANTALYA: Presiden Rusia, Vladimir Putin dilaporkan tidak tersenarai dalam senarai pegawai Kremlin yang akan menghadiri rundingan damai berhubung perang di Ukraine yang dijadual berlangsung di Istanbul, Turkiye, hari ini, meskipun Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, telah menyeru agar beliau hadir.
Sebaliknya, menurut kenyataan Kremlin, delegasi Rusia akan diketuai oleh pembantu presiden, Vladimir Medinsky.
Sebelum ini, Zelenskyy menyatakan kesediaannya untuk menghadiri rundingan tersebut dan bertemu Putin secara bersemuka sekiranya pemimpin Rusia itu bersetuju.
Zelenskyy turut menegaskan, beliau akan melakukan segala usaha bagi merealisasikan pertemuan tersebut.Presiden Ukraine itu dijadualkan berada di ibu negara Turkiye, Ankara, pada Khamis bagi mengadakan pertemuan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Kali terakhir Putin dan Zelenskyy bertemu secara bersemuka adalah pada Disember 2019.
Sementara, kali terakhir rundingan secara langsung antara Rusia dan Ukraine pula berlangsung pada Mac 2022 di Istanbul, tidak lama selepas Rusia melancarkan pencerobohan berskala besar ke atas Ukraine.
Sejak itu, pertempuran berterusan di Ukraine dan dalam tempoh setahun lalu, tentera Rusia telah memperluaskan kawalan mereka di beberapa wilayah, khususnya di bahagian timur negara itu.
Putin pada awalnya mengusulkan rundingan secara langsung tanpa prasyarat antara Rusia dan Ukraine di Istanbul.
Susulan itu, Zelenskyy menyatakan hasratnya untuk hadir secara peribadi dan menjangkakan Putin turut serta.
Cadangan rundingan itu hadir selepas kuasa Barat menggesa gencatan senjata selama 30 hari, selepas beberapa pemimpin Eropah bertemu di Kyiv pada Sabtu lalu.
Susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Ahad yang menggesa Ukraine menerima cadangan tersebut, Zelenskyy menegaskan kesediaannya untuk hadir sendiri ke Turkiye.
“Tiada gunanya melanjutkan pertumpahan darah. Dan saya akan menunggu Putin di Turkiye pada hari Khamis... secara peribadi,” kata Zelenskyy menerusi satu hantaran di media sosial.
Terdahulu pada Rabu, Trump menyuarakan kemungkinan beliau turut menghadiri rundingan itu sekiranya Putin berbuat demikian.
Presiden AS itu yang kini berada di Qatar memberitahu wartawan, beliau tidak pasti sama ada Putin akan hadir sekiranya beliau tidak hadir.
“Saya tahu dia mahu saya berada di sana dan itu sesuatu yang mungkin. Jika kita boleh hentikan perang ini, saya akan pertimbangkan,” kata Trump.
Amerika Syarikat dijangka menghantar delegasi peringkat tinggi ke rundingan tersebut.
Ketua diplomat negara itu, Marco Rubio, telah tiba di Turkiye pada Rabu dan dijadualkan bertemu Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada Khamis.
Menjelang pertemuan itu, Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha memaklumkan, beliau telah bertemu Rubio pada malam Rabu dan menegaskan komitmen Ukraine terhadap usaha damai yang diterajui AS, selain menyeru Rusia agar memberi respon positif terhadap langkah-langkah konstruktif Ukraine.
Rubio dijadualkan berlepas ke Istanbul pada Jumaat untuk menghadiri rundingan bersama rakan sejawat dari Eropah bagi membincangkan konflik di Ukraine.
Setibanya di hotel di Antalya pada Rabu, Rubio tidak memberikan sebarang komen apabila ditanya oleh BBC mengenai kehadiran Putin ke Turkiye.
Sejak kembali ke White House, Presiden Trump dilihat aktif dalam usaha memeterai gencatan senjata antara Rusia dan Ukraine.
Beliau turut menamatkan boikot Barat terhadap pemimpin Rusia dengan mengadakan panggilan telefon bersama Putin pada Februari lalu, selain menghantar utusan khas, Steve Witkoff, untuk mengadakan rundingan dengan Putin di Moscow.
Trump sebelum ini mendakwa, Rusia dan Ukraine “sudah hampir mencapai persetujuan damai”.
Pada Ahad lalu, selepas Putin mengusulkan rundingan langsung, Trump menulis di platform Truth Social: “Hari yang berpotensi hebat buat Rusia dan Ukraine!” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami