RAJA Thailand Maha Vajiralongkorn dilaporkan sudah memberikan pengampunan ke atas bekas peneman dirajanya, Sineenat Wongvajirapakdi dan menerbangkannya ke Jerman untuk menyertai semula barisan gundik diraja.

Lapor portal berita Bild, sejak penularan wabak COVID-19, Raja Thailand itu telah menghabiskan waktunya di hotel bertaraf empat bintang di Jerman bersama pasukan tentera serta ditemani oleh barisan peneman diraja itu.

Difahamkan, Raja Rama X itu telah hadir sendiri ke Lapangan Terbang Munich bagi menjemput bekas gundiknya itu.

Sebelum ini, Sineenat dianugerahkan gelaran peneman diraja yang juga dikenali sebagai Koi Wongvajirapakdi dan ia diberikan raja berkenaan kepadanya pada Hari Keputeraan Raja berkenaan yang ke-67 pada Julai tahun lalu.

Ia merupakan gelaran pertama yang dianugerahkan kepada peneman diraja sejak kerabat diraja Thailand itu memimpin negara serta mengahwini isteri keempat, Permaisuri Suthida pada awal 2019.

Sineenat merupakan tentera udara yang berkhidmat untuk pasukan tentera diraja dan turut menyandang jawatan peneman diraja dengan gelaran pangkat 'Major General'.

Malah, ketika majlis kemahkotaan raja berkenaan yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut, Sineenat juga dilihat berbaris dengan lengkap berpakaian seragam tentera di perarakan yang berjalan dari istana ke beberapa kuil Buddha.

Bagaimanapun, kesemua gelaran dan anugerah yang dikurniakan kepada Sineenat dilucutkan atas dakwaan salah laku kerana ‘bercita-cita tinggi’ untuk menyamai kedudukan Permaisuri Thailand.

Tindakannya itu dikatakan telah mencemarkan institusi diraja kerana ‘tidak memberi penghormatan kepada raja dan tidak memahami tradisi kerajaan’, kata satu kenyataan diraja.