ABUJA, NIGERIA : Raja tradisional Nigeria, Segun Aremu dilaporkan mati ditembak oleh sekumpulan lelaki bersenjata, sementara isterinya serta seorang lagi mangsa diculik dalam tragedi di barat daya negara itu, kata pihak berkuasa.

Memetik laporan BBC, dalam kejadian pada Khamis malam itu, penjenayah menyerang istana yang didiami Aremu iaitu raja dan pesara jeneral tentera yang menggunakan gelaran rasmi Olukoro Koro.

Sehingga kini, pihak berkuasa belum dapat mengenal pasti identiti penjenayah berkenaan serta sama ada mereka menuntut wang tebusan.

Pembunuhan dan penculikan terbaharu yang berlaku beberapa hari selepas kempen menuntut keadaan darurat untuk menangani isu itu.

Kira-kira 50 kumpulan masyarakat sivil menggesa Presiden Bola Tinubu membuat pengisytiharan itu dan mendakwa lebih 1,800 orang telah diculik sejak beliau memegang jawatan Mei lalu.

Bagaimanapun, jumlah sebenar penculikan didakwa melebihi dua kali ganda angka itu, iaitu hampir 4,000 orang, kata perunding risiko perisikan Nigeria.

Tidak kira sejauh mana terdesaknya keadaan, undang-undang Nigeria melarang pembayaran wang tebusan.

Namun begitu, ramai mangsa memilih untuk melunaskan wang tebusan kerana mereka tidak mempercayai pihak berkuasa atau rekod prestasi mereka.

Mengutuk pembunuhan Olukoro Koro di negeri Kwara, sebagai "melulu, mengejutkan, dan keji", Gabenor AbdulRahman AbdulRazaq berikrar, pihak berkuasa akan menangkap mereka yang bertanggungjawab.

Polis berkata, ketika ini pemburuan sedang dijalankan selain berjanji kepada masyarakat setempat bahawa mereka akan menubuhkan pos polis.

Nigeria merupakan rumah kepada ratusan pemerintah tradisional yang tidak mempunyai peranan dari sisi Perlembagaan.

Bagaimanapun, kehadiran sangat dihormati dalam kehidupan masyarakat, bahkan, mereka sering dirujuk untuk menyelesaikan pertikaian antara penduduk tempatan serta memimpin aktiviti kebudayaan.

Awal minggu ini, lima murid sekolah dan empat guru di negeri Ekiti berhampiran telah diculik dan penculik menuntut wang tebusan 100m naira (AS$110,000) untuk pembebasan mereka.

Sementara, seorang pegawai kanan kerajaan telah diculik pada Rabu malam di pinggir bandar Bwari di ibu negara, Abuja, tidak jauh dari rumah enam beradik perempuan bersama bapa mereka yang diculik.

Penculik turut menuntut wang tebusan bagi membebaskan tujuk beranak itu dalam kejadian pada bulan lalu.

Malangnya, seorang daripada kanak-kanak perempuan itu telah ditembak mati kerana kelewatan membayar wang tebusan, dalam kes yang mencetuskan kebimbangan orang awam.

Dalam kejadian lain, dua gadis turut diculik baru-baru ini di kawasan Chikakorie di Kubwa, satu lagi pinggir bandar Abuja. Penculik mereka telah menuntut sekitar AS$25,000 untuk pembebasan mereka.

Kes penculikan menuntut wang tebusan semakin teruk berlaku di Nigeria sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan kumpulan bersenjata menyasarkan pengembara jalan raya, pelajar serta penduduk di kawasan luar bandar dan bandar-bandar utama di seluruh negara. - BBC