Rakyat Iran berhak suarakan keluhan, tolak provokasi anasir luar – Ali Khamenei

Khamenei menegaskan, penolakan tegas terhadap sebarang bentuk provokasi oleh perusuh yang didakwa menggugat kestabilan Iran, sambil memberi amaran terhadap anasir jahat yang mengambil kesempatan daripada keluhan rakyat yang sah. - Gambar Reuters
KUALA LUMPUR: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyatakan rakyat berhak menyuarakan bantahan terhadap krisis yang berlaku seperti kejatuhan nilai mata wang negara yang menyebabkan ketidakstabilan dalam sektor perniagaan.
Namun, Khamenei menegaskan, penolakan tegas terhadap sebarang bentuk provokasi oleh perusuh yang didakwa menggugat kestabilan Iran, sambil memberi amaran terhadap anasir jahat yang mengambil kesempatan daripada keluhan rakyat yang sah.
“Bantahan adalah wajar, tetapi bantahan adalah berbeza dengan rusuhan, kita (kerajaan) berbincang dengan golongan yang membantah kerana mereka berhak menyuarakan kebimbangan mereka, berbincang dengan perusuh adalah sia-sia.
“Adalah tidak boleh diterima apabila terdapat kumpulan yang menggunakan pelbagai nama dan alasan untuk menggugat kestabilan negara dengan berselindung di sebalik golongan peniaga yang setia kepada kerajaan,” katanya seperti dilaporkan agensi media rasmi Iran, IRNA.
Tambahnya, kerajaan mengakui isu berkenaan, sambil memaklumkan bahawa Presiden Masoud Pezeshkian dan jemaah menteri sedang berusaha menangani masalah tersebut.
Kenyataan beliau dibuat semasa pertemuan di Pusat Keagamaan Imam Khomeini di Tehran pada Sabtu sempena ulang tahun ke-5 kematian Jeneral Qasem Soleimani akibat serangan dron Amerika Syarikat (AS) di Baghdad.
Pada masa sama, Khamenei turut menegaskan, tidak akan tunduk terhadap ugutan Presiden AS, Donald Trump semalam untuk menyerang Iran sekiranya tindakan diambil terhadap golongan perusuh.
“Kami (Iran) tidak akan tunduk kepada mereka dan bergantung kepada Allah serta yakin terhadap sokongan rakyat… musuh tidak pernah berehat; ia merebut setiap peluang dan mahu mengeksploitasinya,” katanya lagi.
Kejatuhan nilai Rial Iran (IRR) dalam dekad terakhir berpunca daripada faktor sekatan ekonomi oleh pihak antarabangsa yang diperhebat sejak 2018 oleh Amerika Syarikat, pengurusan ekonomi dalaman yang lemah, inflasi tinggi, kebergantungan kepada eksport minyak, serta ketegangan geopolitik.
Penurunan mata wang ini telah meningkatkan kos sara hidup, menjejaskan aktiviti perniagaan, dan mengurangkan peluang pekerjaan, sambil menimbulkan ketidakpastian dalam perdagangan serantau serta pasaran minyak global.
Akibat krisis itu, golongan peniaga mengadakan protes di Tehran minggu lalu, diikuti pelajar universiti yang melaungkan slogan anti-Republik, sementara media melaporkan enam orang terkorban dalam pertembungan dengan pasukan penguat kuasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


