TOKYO: Hampir 100 penunjuk perasaan di Jepun berhimpun untuk membantah rancangan kerajaan melepaskan air sisa tercemar nuklear ke Lautan Pasifik, menyatakan kebimbangan mereka terhadap laporan akhir oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Demonstrasi itu diadakan pada petang Rabu di hadapan ibu pejabat Tokyo Electric Power Company (TEPCO), pengendali loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi yang musnah. Penunjuk perasaan daripada beberapa kumpulan sivik tempatan memegang pelekat bertulis "Jangan buang air tercemar ke laut" dan "Jangan cemarkan lautan kita".

"Standard keselamatan yang didakwa TEPCO pada asasnya adalah cacat," seorang penunjuk perasaan bernama Yamazaki memberitahu Xinhua, sambil menambah bahawa tiada had terhadap jumlah air tercemar nuklear yang akan dilepaskan ke lautan dan peraturan sedia ada mengenai kepekatan bahan radioaktif adalah terlalu ringan.

Lelaki pertengahan umur itu, yang menentang keras piawaian kepekatan tinggi untuk air tercemar nuklear yang ditetapkan oleh IAEA, menekankan bahawa terdapat kaedah alternatif untuk mengendalikan air berkenaan.

"Adalah tidak boleh diterima untuk melepaskan kuantiti air yang banyak mengandungi bahan radioaktif ke dalam lautan, mengambil kira potensi bahaya yang mungkin ditimbulkannya pada masa hadapan," katanya.

Pada Selasa, IAEA menerbitkan laporan semakan keselamatan komprehensif terakhir mengenai pelan pelepasan laut Jepun selepas Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi menyerahkan salinan kepada Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di Tokyo.

Penunjuk perasaan menyatakan bantahan mereka mengenai laporan itu, mengatakan bahawa kerajaan Jepun "tidak bertanggungjawab" dengan mengambil laporan IAEA sebagai "kebenaran untuk pelepasan laut" dengan mengabaikan tentangan daripada penduduk tempatan, industri perikanan dan negara jiran.

"Walaupun 'racun' itu dicairkan sebanyak 40 kali, ia tetap 'racun' dan sifatnya tidak boleh diubah," laung orang ramai serentak.

Seorang lagi penunjuk perasaan bernama Kimura mendakwa, untuk menangani penentangan dari dalam dan luar negara, kerajaan Jepun, bersama-sama dengan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, dan Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Nuklear akan menyalahgunakan laporan IAEA dan membentangkannya sebagai lampu hijau untuknya melepaskan sisa air tercemar yang dirancang.

Pada Selasa, Grossi menegaskan pada sidang media yang diadakan di Kelab Akhbar Kebangsaan Jepun di Tokyo bahawa pilihan untuk melepaskan air sisa nuklear ke laut adalah pilihan yang dibuat oleh kerajaan Jepun.

"Saya ingin menekankan bahawa pelepasan air terawat yang disimpan di Stesen Janakuasa Fukushima Daiichi adalah keputusan oleh kerajaan Jepun dan laporan ini bukanlah satu syor mahupun pengesahan dasar itu," kata Grossi.

IAEA akan terus berada di tapak loji Fukushima Daiichi untuk menyemak, memantau dan menilai aktiviti pelepasan untuk beberapa dekad akan datang, katanya.

Kerajaan Jepun sedang membuat persiapan untuk menjalankan pelan pembuangan air sisanya seawal Ogos, laporan media tempatan pada Rabu.

Kerajaan Jepun merancang untuk melepaskan kira-kira 1.3 juta tan air sisa tercemar radioaktif yang kini disimpan dalam kira-kira 1,000 tangki simpanan.

-- BERNAMA