KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di Jepun dinasihatkan supaya mengelak perjalanan yang tidak perlu dan terus berwaspada susulan hujan luar biasa yang mencetuskan banjir teruk serta gangguan besar pengangkutan di seluruh Wilayah Chiba dan kawasan lain di Kanto.
Kedutaan Malaysia di Tokyo memaklumkan rangkaian jalan raya dan kereta api terjejas teruk, menyebabkan ribuan penumpang terkandas, termasuk dianggarkan 7,000 orang di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita.
“Rakyat Malaysia di Jepun turut dinasihatkan supaya menjauhi kawasan banjir atau kawasan rendah, meningkatkan tahap berhati-hati dan terus berwaspada serta memantau dengan teliti keadaan setempat, perkembangan terkini pengangkutan, notis pemindahan dan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa Jepun,” menurut kedutaan itu menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Kedutaan turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya merujuk Agensi Meteorologi Jepun (JMA) untuk perkembangan terkini cuaca, amaran dan nasihat.
Menurut kedutaan itu, sekiranya berlaku kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Tokyo di talian +81-3-3476-3840 pada waktu pejabat atau talian kecemasan +81-70-1471-9756 selepas waktu pejabat.
Mereka juga boleh menghubungi kedutaan menerusi e-mel di [email protected] atau [email protected].
-- BERNAMA