Rakyat Palestin derita dalam hujan musim sejuk, bantuan tempat perlindungan disekat Israel

Seorang wanita Palestin berjalan di sebelah deretan khemah dalam hujan, ketika gencatan senjata antara Israel dan Hamas berlangsung di Bandaraya Gaza. - Foto REUTERS
BANDARAYA GAZA: Hujan lebat dan suhu sejuk yang melanda Semenanjung Gaza telah memburukkan lagi keadaan hidup ratusan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal, ketika Israel terus menyekat penghantaran bekalan perlindungan seperti khemah dan barangan asas ke wilayah yang dikepung itu.
Ringkasan AI
- Hujan lebat dan suhu sejuk memburukkan keadaan ratusan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal, dengan ramai terpaksa berlindung di khemah sementara yang tidak tahan cuaca ekstrem.
- Israel terus menyekat penghantaran khemah dan barangan perlindungan ke Gaza atas alasan keselamatan, meskipun rayuan antarabangsa semakin meningkat.
- UNRWA memberi amaran bahawa ribut musim sejuk boleh membawa kesan bencana kepada hampir dua juta penduduk Gaza, yang kini berisiko tinggi dijangkiti penyakit dan mengalami hipotermia.
“Saya menangis sejak pagi,” kata seorang penduduk yang terpaksa membersihkan air bertakung di luar khemahnya selepas hujan pertama musim sejuk melanda Bandaraya Gaza pada Jumaat.
Agensi bantuan kemanusiaan telah memberi amaran selama beberapa minggu bahawa penduduk Gaza tidak mempunyai keperluan asas untuk menghadapi musim sejuk.
Ramai yang telah dipindahkan berulang kali akibat konflik, dan kini berdepan risiko tinggi penyakit, hipotermia dan kekurangan makanan.
Israel dilaporkan terus menyekat penghantaran khemah dan barangan perlindungan atas alasan keselamatan, walaupun rayuan antarabangsa semakin meningkat.
Jurucakap UNRWA, Adnan Abu Hasna, menyifatkan ribut yang mendatang sebagai berpotensi membawa “kesan bencana” kepada hampir dua juta penduduk yang tidak mempunyai tempat perlindungan yang selamat.
Jabatan Meteorologi Palestin turut mengeluarkan amaran banjir kilat di kawasan rendah dan lembah di Gaza dan Tebing Barat, dengan ramalan ribut petir dan angin kencang dalam beberapa hari akan datang.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

