DUNIA
Rakyat Turkiye turun bantah penahanan Datuk Bandar Istanbul

Keadaan menjadi tegang apabila berlaku pergelutan antara penunjuk perasaan dan pihak polis yang telah mendirikan sekatan serta menutup beberapa jalan utama. - Foto AP
ISTANBUL: Ribuan rakyat Turkiye terus mengadakan protes pada Khamis bagi membantah penahanan Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, yang dianggap sebagai tindakan tidak demokratik.
Pembangkang pula menyalahkan Presiden Recep Tayyip Erdogan atas insiden ini.
Para penunjuk perasaan berkumpul di ibu pejabat majlis perbandaran dan balai polis di Istanbul serta di universiti dan dataran awam di seluruh negara.
Keadaan menjadi tegang apabila berlaku pergelutan antara penunjuk perasaan dan pihak polis yang telah mendirikan sekatan serta menutup beberapa jalan utama.Ekrem, yang merupakan seteru politik utama Erdogan, ditahan pada Rabu atas dakwaan rasuah dan membantu kumpulan pengganas.
Tindakan ini dikecam oleh pihak pembangkang sebagai "cubaan rampasan kuasa" dan mencetuskan demonstrasi serta kritikan dari pemimpin-pemimpin Eropah.
Penahanan ini juga menandakan kemuncak tindakan undang-undang terhadap pemimpin pembangkang sejak beberapa bulan lalu yang dikritik sebagai usaha politik untuk menjejaskan peluang pilihan raya mereka.
Kerajaan bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Erdogan dalam kenyataan pertamanya mengenai isu ini menolak kritikan pembangkang dan menyifatkannya sebagai "sandiwara" dan "slogan" yang membazir masa negara.
Parti pembangkang Parti Rakyat Republik (CHP) dijangka mengumumkan ekrem sebagai calon presidennya dalam undian yang dijadualkan pada ahad ini.
Walaupun pilihan raya tidak dijadualkan sehingga 2028, ia mungkin diadakan lebih awal jika Erdogan, kini berusia 71 tahun, mahu bertanding semula.
Ekrem kini mendahului Erdogan dalam beberapa tinjauan pendapat.
Sementara itu, kerajaan memberi amaran agar tidak mengaitkan Erdogan atau politik dengan penahanan Ekrem, dengan menegaskan bahawa badan kehakiman adalah bebas.
Dalam usaha mengawal keadaan, Ankara mengenakan larangan perhimpunan selama empat hari serta mengehadkan akses kepada beberapa media sosial bagi menyekat komunikasi.
Di Istanbul, pihak polis turut menempatkan trak meriam air berhampiran balai polis tempat Ekrem ditahan.
Dari dalam tahanan, Ekrem menyeru anggota kehakiman dan ahli parti pemerintah Erdogan agar menentang ketidakadilan penahanannya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami