Pakar seismologi Filipina meramalkan gempa bumi dengan skala 7.2 Richter berkemungkinan melanda beberapa kawasan di Manila pada bila-bila masa.

Berikutan itu, satu pelan tindakan terperinci bagi menghadapi bencana tersebut telah dirancang untuk mengelakkan Filipina berhadapan masalah yang kini dihadapi Nepal.

Sebahagian usaha untuk mengurangkan kemusnahan, Filipina telah memperkenalkan Valley Fault System Atlas, yakni sebuah laporan yang mampu meramal gempa bumi berdasarkan kajian saintifik.

Buku peta berkenaan disediakan oleh Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs), ia mengandungi imejan terperinci jalan-jalan tertentu dan kampung-kampung yang terletak di atas atau berhampiran garisan gempa.

Menurut kenyataan rasmi Pengarah Phivolcs, Renato Solidum berkata, peta yang terdahulu hanya memaparkan skala 1 hingga 10,000 dan hanya menunjukkan kawasan perbandaran dan jalan-jalan besar sahaja.

Atlas baru yang dikeluarkan pula mempunyai skala yang lebih terperinci iaitu 1 hingga 5,000 yang menunjukkan jalan-jalan yang terperinci, kawasan kampung, serta menggariskan beberapa struktur utama.

earthquake philipines atlas
Valley Fault System Atlas menjadi panduan ramalan gempa oleh rakya Filipina – Foto Laman Rasmi Phivolcs

Agensi pengurusan bencana Filipina pernah mengeluarkan amaran kepada orang ramai bahawa satu gempa bumi yang besar bakal mengegarkan Manila.

Justeru kerajaan telah mengeluarkan amaran dan meminta supaya rakyat sentiasa bersedia.

Solidum menyifatkan bahawa langkah-langkah persediaan dapat mengelakkan bencana dan kerosakkan seperti yang berlaku di Nepal.

Dianggarkan lebih 8,000 orang terbunuh selepas negara itu dilanda gempa bumi kuat berskala 7.8 pada penghujung bulan April.

Sekitar tahun lalu, satu kajian dijalankan oleh agensi-agensi Filipina dan kerajaan Australia yang menyimpulkan gempa bumi dengan skala 7.2 di bahagian barat boleh mengorbankan 37,054 orang.

Ramalan itu memberi kesan terhadap mereka yang tinggal di kawasan garisan gempa. Sebilangan netizen meluahkan kebimbangan di laman Twitter lantas hashtag #PrayForThePhilippines menjadi topik trending.






Netizen Malaysia turut tidak terkecuali menzahirkan kebimbangan selain turut berdoa buat negara jiran.