Skip to main content

Malaysia

Kerajaan MADANI semarak agenda perkasa usahawan bumiputera, sasar pelaburan GLIC RM2 bilion - PM Anwar

erajaan MADANI kekal beriltizam untuk mendukung dan menyemarak agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera sebagai wahana yang berdaya hasil dan berteraskan pencapaian yang membanggakan. Melalui pengukuhan Bumiputera Commercial and Industrial Community (BCIC), kita menetapkan sasaran yang lebih berani—meningkatkan pelaburan GLIC sehingga RM2 bilion, menjayakan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu, serta membimbing lahirnya Jaguh Bumiputera yang berupaya mencapai nilai syarikat mencecah RM500 juta dalam
Anwar berkata melalui pengukuhan BCIC, kerajaan menetapkan sasaran yang lebih berani - meningkatkan pelaburan GLIC sehingga RM2 bilion. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI kekal beriltizam untuk mendukung dan menyemarak agenda memperkasakan usahawan bumiputera sebagai wahana yang berdaya hasil dan berteraskan pencapaian yang membanggakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata melalui pengukuhan Bumiputera Commercial and Industrial Community (BCIC), kerajaan menetapkan sasaran yang lebih berani - meningkatkan pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sehingga RM2 bilion.

Advertisement

Selain itu, katanya menjayakan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu dan membimbing melahirkan Jaguh Bumiputera yang berupaya mencapai nilai syarikat mencecah RM500 juta dalam tempoh lima tahun.

"Ini bukan sekadar angka tetapi lambang tekad untuk mengangkat martabat ekonomi bumiputera kepada tahap yang lebih mapan dan berdaya saing," kata Anwar dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Justeru, beliau berkata pendekatan strategik yang digerakkan harus bersifat menyeluruh daripada memperkukuh perusahaan dan syarikat sedia ada yang berdaya tahan hinggalah membuka ruang kepada penyertaan dalam sektor pertumbuhan baharu seperti kecerdasan buatan dan teknologi tinggi.

"Kejayaan jenama seperti SERAI dan GlocAI memperlihatkan bahawa apabila ekosistem yang tepat disediakan, usahawan bumiputera mampu berdiri setara, malah unggul dalam landskap ekonomi moden," kata beliau.

Pada masa yang sama, Anwar berkata akses kepada pembiayaan, perolehan kerajaan dan peluang komersial terus diperluas sebagaimana yang dinikmati oleh syarikat seperti Bateriku, Hanan Medicare, Bluesify, Pak Tam dan Meraque yang menjadi bukti bahawa tata laksana yang inklusif mampu melahirkan legasi keusahawanan yang mampan.

Beliau berkata kerajaan mendengar, menilai dan akan terus memperhalusi pendekatan sedia ada supaya setiap dasar yang digerakkan benar-benar mencerminkan realiti di lapangan.

"Walhasil, dengan iltizam kolektif serta kepemimpinan yang berprinsip, kita yakin bahawa agenda keusahawanan bumiputera akan terus berkembang, bukan sahaja sebagai tonggak ekonomi negara, malah sebagai manifestasi keadilan sosial yang menjadi teras kepada gagasan yang madani," kata beliau.

-- BERNAMA

Must Watch Video