awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Dilema dihadapi 'whistleblower' punca gejala rasuah terus berakar umbi - Pakar
Pendigitalan gagal jika syarikat tidak ubah cara kerja
Sistem kehakiman syariah mesra rakyat keutamaan Sarawak - Abang Johari
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Rampas aset Rusia adalah "tindakan perang" - PM Belgium

Bernama
Bernama
22/01/2026
21:30 MYT
Rampas aset Rusia adalah "tindakan perang" - PM Belgium
De Wever menegaskan, Eropah tidak berada dalam keadaan perang dengan Rusia dan penyitaan aset secara unilateral adalah sesuatu yang belum pernah berlaku. - Gambar Reuters
BRUSSELS: Perdana Menteri Belgium, Bart De Wever pada Khamis memberi amaran yang tindakan merampas secara langsung aset Rusia akan dianggap sebagai satu tindakan perang dan membawa kesan serius terhadap sistem kewangan Eropah, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Berucap di luar Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland sempena Ukrainian Breakfast 2026, De Wever menegaskan, Eropah tidak berada dalam keadaan perang dengan Rusia dan penyitaan aset secara unilateral adalah sesuatu yang belum pernah berlaku.
"Anda tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil wang milik seseorang. Kami tidak berperang dengan Rusia. Eropah tidak berperang dengan Rusia. Anda tidak boleh begitu sahaja merampas wang. Itu adalah satu tindakan perang. Jangan memandang remeh perkara ini, ia tidak pernah berlaku dalam sejarah," katanya.
Beliau menjelaskan yang Eropah sebaliknya memilih untuk membekukan aset Bank Pusat Rusia, yang kebanyakannya disimpan di Belgium melalui Euroclear, untuk tempoh tidak ditentukan.
"Wang yang dibekukan, bahkan semasa Perang Dunia Kedua, tidak pernah dirampas. (Jika dirampas) ini akan menjadi kali pertama dalam sejarah dan ia akan membawa kesan besar kepada Eropah, terhadap kepercayaan dan keyakinan terhadap sistem kewangan Zon Euro," katanya.
De Wever turut menekankan kerumitan proses membuat keputusan di Eropah, sambil memberi amaran yang pengambilan terus aset Rusia boleh memakan diri sekiranya negara Eropah kemudian memutuskan untuk menarik balik sekatan, yang berpotensi memaksa Eropah membayar semula dana yang dirampas.
Bagaimanapun, beliau mengakui tanggungjawab Eropah dalam membiayai Ukraine, sambil menyatakan yang blok itu komited menyediakan EUR90 bilion (US$105 bilion) bagi tahun ini dan tahun hadapan.
"Pembiayaan untuk Ukraine tersedia dan aset tersebut akan terus dibekukan sehingga perang berakhir, yang bermakna, seperti yang sentiasa berlaku dalam sejarah, apabila perjanjian damai dicapai, aset itu akan dibincangkan. Biar saya jelaskan dengan terang pada ketika itu ... setiap sen daripada wang tersebut akan digunakan untuk pembayaran balik dan pembinaan semula Ukraine," katanya.
"Saya akan berasa amat sedih jika melihat walau satu euro pun dikembalikan ke Moscow, tetapi kita perlu menghormati undang-undang antarabangsa. Ia akan berlaku pada masa itu dan antara sekarang hingga ketika itu, Eropah akan membiayai perang di Ukraine sebagaimana yang sepatutnya," katanya.
Kira-kira EUR210 bilion (AS$246 bilion) aset Rusia masih dibekukan dalam Kesatuan Eropah (EU).
EU sebelum ini mencadangkan penggunaan hasil daripada aset berkenaan untuk menyokong Ukraine, walaupun kebanyakannya dipegang oleh syarikat perkhidmatan kewangan Belgium, Euroclear dan Belgium berulang kali menyuarakan kebimbangan undang-undang serta kewangan terhadap cadangan itu.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#rampas aset Rusia
#tindakan Perang
#sistem kewangan Eropah
#PM Belgium
#Bart De Wever
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan