Rampasan kuasa di Mesir, yang menyaksikan Presiden Mohamed Morsi diguling, adalah satu tindakan lapuk dan terkebelakang dalam landskap politik dunia hari ini, kata Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahman.

Mohamad Raimi dalam satu kenyataan hari ini berkata tindakan itu tidak menjamin kestabilan Mesir untuk tempoh jangka panjang.

"Morsi seharusnya diberi peluang untuk memimpin Mesir dalam tempoh sekurang-kurangnya satu penggal sehingga pilihan raya akan datang bagi menstabilkan kerajaan pimpinannya.

"Rampasan kuasa ini secara langsung menafikan keinginan rakyat Mesir untuk menentukan masa depan mereka sendiri sebagaimana yang dilaungkan sejak 2011 dan kemudian diterjemah melalui proses pilihan raya," katanya.

ABIM turut meminta pelajar Malaysia di Mesir agar sentiasa berwaspada serta peka terhadap perkembangan semasa.

Pada masa sama, Abim meminta Wisma Putra menyalurkan maklumat serta perkembangan terkini berkaitan situasi di Mesir.