Skip to main content

Malaysia

AI Malaysia lantik Arzumy Md Yusof sebagai Ketua Pegawai Eksekutif

AI Malaysia melantik Arzumy Md Yusof sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa 23 November 2026. - Foto AI Malaysia
AI Malaysia melantik Arzumy Md Yusof sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa 23 November 2026. - Foto AI Malaysia

Ringkasan AI

  • AI Malaysia melantik Arzumy Md Yusof sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa 23 November 2026.
  • Pelantikan ini dijangka memperkukuh pembangunan organisasi dan pelaksanaan agenda Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.
  • AI Malaysia akan fokus kepada Tadbir Urus AI, Keselamatan AI dan Ekonomi AI di bawah kepimpinan baharu.
Advertisement

KUALA LUMPUR: AI Malaysia melantik Arzumy Md Yusof sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa 23 November 2026.

Pelantikan itu menandakan fasa baharu dalam pembangunan organisasi berkenaan serta pelaksanaan agenda negara ke arah merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.

Arzumy membawa pengalaman lebih dua dekad dalam bidang teknologi, kepimpinan perniagaan dan transformasi organisasi, termasuk membangunkan perniagaan digital serta menerajui pasukan teknologi merentas pasaran serantau.

Sebelum pelantikan itu, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Fave Asia Technologies Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Teknologi Fave Group, sebahagian daripada kumpulan Pine Labs, sebuah syarikat teknologi kewangan antarabangsa yang menyediakan penyelesaian pembayaran digital.

Beliau juga merupakan antara anggota pasukan pengasas beberapa syarikat teknologi tempatan, termasuk Billplz dan SAYS.

Pengerusi Lembaga Pengarah AI Malaysia, Aireen Omar berkata, pengalaman Arzumy dalam industri teknologi dan perniagaan akan memberikan perspektif strategik kepada organisasi itu, selain memperkukuh keupayaan serta memperluas jaringan kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam dan luar negara.

Menurutnya, aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030 memerlukan institusi yang kukuh, kepimpinan berkesan serta kerjasama antara kerajaan, industri, akademia dan masyarakat bagi memastikan keutamaan negara diterjemahkan kepada hasil yang nyata.

Di bawah kepimpinan baharu itu, AI Malaysia akan memberi tumpuan kepada tiga keutamaan strategik, iaitu Tadbir Urus AI, Keselamatan AI dan Ekonomi AI.

Usaha itu turut merangkumi peningkatan keberkesanan pelaksanaan inisiatif AI kebangsaan, pembangunan bakat dan inovasi tempatan serta peluasan kerjasama strategik antarabangsa.

Untuk rekod, AI Malaysia dilancarkan pada 28 Julai 2026 menerusi penginstitusian Pejabat AI Kebangsaan (NAIO).

Organisasi itu bertanggungjawab memacu dan menyelaraskan pelaksanaan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 yang merangkumi 28 inisiatif nasional, terdiri daripada 14 Pemacu Sektoral dan 14 Pemangkin Asas.

Pelan berkenaan bertujuan merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030, selain memperkukuh keupayaan negara dalam pembangunan dan penerimagunaan teknologi kecerdasan buatan yang dipercayai, inklusif dan berimpak tinggi.

Must Watch Video

Advertisement