JAKARTA: ASEAN mengalami 22 bencana pada minggu ketiga tahun ini, dengan banjir, tanah runtuh dan insiden berkaitan angin mencetuskan kemusnahan, terutama di Indonesia dan Filipina.

Menurut Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA), BNPB Indonesia merekodkan kejadian banjir dan bencana berkaitan angin di pelbagai wilayah.

Impaknya sangat besar, menjejaskan 44,400 keluarga dan 44 orang hilang tempat tinggal, menurut Pusat AHA dalam maklumat terkini mingguannya.

"Kalimantan Tengah menghadapi hujan lebat yang menyebabkan banjir secara meluas dan kerosakan struktur," katanya.

Di Filipina, NDRRMC melaporkan kejadian banjir dan tanah runtuh di Mindanao Selatan, yang dikenali sebagai Wilayah XI, dan Caraga di timur laut Mindanao.

Berikutan kesan yang sangat teruk dengan 16 kematian, lima cedera dan 32,000 hilang tempat tinggal, pihak berkuasa memperuntukkan AS$964,000 sebagai bantuan.

Kedua-dua negara itu juga bergelut dengan aktiviti seismik dengan lima gempa bumi lebih 5.0 magnitud dan lapan aktiviti gunung berapi dilaporkan, menurut Pusat AHA.

-- BERNAMA