LONDON: Ratu Camilla berkongsi bagaimana beliau dan Raja Charles III gemar meluangkan masa membaca setiap petang, dengan sesi berkenaan sering diselang-seli gelak tawa raja atau air matanya sendiri ketika menghayati buku.
Dalam dokumentari 'The Book That Changed My Life' terbitan BBC, Camilla berkata beliau kadangkala terganggu apabila mendengar Raja Charles ketawa kuat ketika membaca.
“Apabila saya benar-benar tenggelam dalam buku, saya akan mendengar beliau ketawa kuat terhadap sesuatu. Ia agak mengganggu,” katanya.
Ratu berusia 79 tahun itu berkata minat membaca telah menjadi sebahagian daripada hidupnya sejak muda dan banyak membentuk pengetahuan serta pemahamannya tentang kehidupan.
Menurutnya, membaca membantu seseorang melupakan tekanan dengan menyelami kehidupan dan pengalaman orang lain.
Camilla juga mendedahkan bahawa bapanya pernah bergantung kepada buku untuk mengharungi lebih dua tahun sebagai tawanan perang di Jerman pada awal 1940-an.
Raja Charles dilaporkan gemar membaca novel jenaka karya P.G. Wodehouse dan buku biografi, manakala Camilla lebih meminati novel fiksyen sejarah serta novel misteri.
Dokumentari itu diterbitkan ketika pelbagai pihak di Britain giat menggalakkan budaya membaca susulan kemerosotan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.