NEW YORK: Ratusan penerbangan di beberapa lapangan terbang utama Amerika Syarikat (AS) mengalami kelewatan selepas kabel telekomunikasi penting bagi sistem kawalan trafik udara terputus akibat kerja pembinaan.
Gangguan itu menyebabkan arahan pemberhentian sementara penerbangan dan kelewatan operasi dikeluarkan pada Isnin melibatkan lapangan terbang di New York, Pennsylvania, New Jersey dan Massachusetts.
Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy, berkata kabel berkenaan telah dibaiki beberapa jam kemudian dan operasi lapangan terbang dijangka kembali normal, namun kelewatan penerbangan masih dijangka berterusan.
Insiden itu berlaku ketika New York bersiap sedia menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang bermula pada Selasa dan dijangka menerima ketibaan ramai pemimpin dunia.
Menurut pihak berkuasa pengangkutan, kabel yang rosak itu menjejaskan sistem Terminal Radar Approach Control yang digunakan untuk membimbing pesawat ketika berlepas dan mendarat.
Agensi pengangkutan awam New Jersey, NJ Transit, memaklumkan pekerja pembinaannya secara tidak sengaja memotong kabel tersebut selepas penanda lokasi utiliti di kawasan penggalian didakwa diletakkan di tempat yang salah.
Pada peringkat awal, Duffy menyatakan kerosakan itu berpunca daripada kerja pembinaan melibatkan Amtrak, syarikat perkhidmatan kereta api antara bandar AS. Bagaimanapun, jurucakap Amtrak kemudian menjelaskan insiden tersebut melibatkan kontraktor yang bekerja untuk NJ Transit.
Syarikat telekomunikasi Verizon yang memiliki kabel berkenaan turut menafikan sebarang tanggungjawab terhadap kejadian itu.
Ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Bryan Bedford, berkata kabel yang terputus sebenarnya merupakan rangkaian sokongan dan masalah tersebut hanya dikesan selepas sistem utama mengalami kegagalan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty di New Jersey, yang merupakan antara tiga lapangan terbang utama yang melayani kawasan New York, paling terjejas akibat gangguan tersebut.
Menurut laman penjejakan penerbangan FlightAware, sebanyak 267 penerbangan berlepas dari Newark mengalami kelewatan, manakala 257 lagi penerbangan menuju ke lapangan terbang itu turut terjejas.
Selain Newark, Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy (JFK), LaGuardia di New York dan Lapangan Terbang Antarabangsa Philadelphia turut terkesan.
Seorang penumpang, Douglas Tewnion, berkata penerbangannya dari Edinburgh ke New York terpaksa dilencongkan ke Boston akibat gangguan berkenaan.
Beliau berkata penumpang terpaksa menunggu berjam-jam di dalam pesawat tanpa maklumat lanjut selepas mendarat di Boston.
Walaupun suasana dalam kalangan penumpang kekal tenang, beliau mengakui kelewatan tambahan itu menambahkan keletihan selepas penerbangan jarak jauh.