DUNIA
Ratusan ribu hadiri upacara pengebumian negara di Tehran

Orang ramai menghadiri perarakan pengebumian negara bagi komander tentera, saintis nuklear dan individu lain yang terkorban dalam serangan Israel, di Tehran, pada Sabtu. - Gambar Reuters
TEHRAN: Ratusan ribu rakyat Iran membanjiri jalan-jalan di ibu kota Tehran pada Sabtu untuk menghadiri upacara pengebumian kenegaraan bagi memperingati pegawai tinggi tentera, saintis nuklear dan orang awam yang terbunuh dalam konflik berdarah selama 12 hari antara Iran dan Israel.
Sambil berpakaian serba hitam, para hadirin melaungkan slogan anti-Israel dan anti-Amerika, manakala sesetengah daripada mereka cuba menyentuh keranda yang dibalut bendera merah-putih-hijau Iran, dalam suasana penuh emosi dan kesedihan.
“Pemergian mereka sangat menyakitkan,” kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, dalam ucapannya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, Iran akan bangkit dengan “kemuliaan baharu dan kekuatan yang lebih hebat.”"Maruah bangsa lebih utama. Mereka yang kita semadikan hari ini telah menumpahkan darah, tetapi tidak menyerahkan kehormatan,” tegas Araghchi.
Menurut laporan CNN, ratusan ribu rakyat berhimpun di Theran dengan menyatakan taat setia kepada pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, dengan laungan: “Wahai pemimpin mulia, kami bersedia!”
Media rasmi IRIB turut menyiarkan muzik patriotik semasa upacara berlangsung.
Upacara pengebumian pada Sabtu melibatkan 60 individu yang terkorban dalam serangan udara Israel. Ini termasuk beberapa tokoh utama ketenteraan seperti:
* Hossein Salami, bekas Ketua Pengawal Revolusi Islam (IRGC)
* Mohammad Bagheri, bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Iran
* Amir Ali Hajizadeh, bekas Komander Tentera Udara IRGC
Turut dikebumikan ialah sekurang-kurangnya enam saintis nuklear, empat saintis lain, serta empat wanita dan empat kanak-kanak.
Ali Shamkhani, pegawai kanan ketenteraan dan politik yang sebelum ini disangka terbunuh, muncul di upacara pengebumian.
Sebelum ini, media Israel dan beberapa laporan Iran sendiri mendakwa beliau maut dalam serangan Israel pada 13 Jun.
Namun, kemunculannya mengesahkan beliau masih hidup, dan satu mesejnya kepada Khamenei menyebut: “Saya masih hidup dan sedia untuk berkorban.”
Pertempuran tercetus apabila Israel melancarkan serangan luar biasa ke atas kemudahan nuklear dan kepimpinan tentera Iran awal bulan ini. Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu, termasuk ke atas sebuah pangkalan tentera AS di Qatar.
Susulan rundingan diplomatik pantas, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan gencatan senjata antara Israel dan Iran, yang disifatkan sebagai kejayaan rundingan peringkat tertinggi.
Konflik berdarah itu mengorbankan puluhan nyawa dan mengheret rantau itu ke ambang peperangan besar-besaran, sebelum rundingan damai mengendurkan ketegangan.
Namun, pemimpin Iran menegaskan, perjuangan dan pengorbanan mereka yang gugur akan terus diingati sebagai lambang martabat negara. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami