PERKEMBANGAN politik mutakhir memperlihatkan landskap politik Malaysia semakin memasuki fasa baharu yang lebih kompleks dan tidak menentu.
Hujung minggu lalu, bekas orang nombor dua PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan penubuhan parti baharu, Parti Bersama Malaysia.
Pada masa sama, bekas ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di semua kerusi tanpa sebarang rundingan.
Hal ini susulan UMNO di Johor mengumumkan bahawa Barisan Nasional (BN) bertanding di semua kerusi DUN dalam PRN di Johor nanti tanpa sebarang rundingan kerusi.
Keadaan ini memberi isyarat jelas bahawa PH dan BN dijangka tidak lagi memasuki pilihan raya melalui formula kerjasama besar seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya di enam negeri pada tahun 2023.
Di pihak pembangkang pula, Perikatan Nasional (PN) juga sedang berdepan cabaran dalaman yang serius.
Bersatu dilihat semakin berpecah apabila kelompok yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin berhadapan tindakan penggantungan dan pemecatan.
Pada masa sama, usaha Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memperkenalkan gagasan Ikatan Prihatin Nasional menunjukkan bahawa Bersatu sendiri sedang mencari alternatif baharu di luar kerangka PN.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa politik gabungan yang terbentuk selepas PRU14 dan PRU15 kini sedang mengalami proses penstrukturan semula.
Ketika semua melihat bahawa pakatan politik di Malaysia sedang menuju perpecahan, hakikatnya kita perlu melihat ini sebagai strategi parti politik atau paksi politik masing-masing untuk mengukuhkan kedudukan politik.
Kesemua parti mahu menguji kekuatan sokongan rakyat di gelanggang pilihan raya tanpa terlalu bergantung kepada konsep ‘payung besar’ gabungan politik.
Gabungan atau pakatan besar politik di bawah dua hingga tiga payung utama yang mewarnai politik Malaysia berdekad lamanya bukan lagi dilihat formula berkesan untuk memiliki tampuk kuasa.
Sebelum ini, parti-parti politik bernaung di bawah dua hingga tiga pakatan besar dalam mendepani pilihan raya yang memerlukan mereka melakukan agregasi atau menyederhakan kepentingan dalam gabungan dan kemudiannya bersama merangka manifesto dan strategi pilihan raya.
Namun, kini, agregasi kepentingan parti politik sebelum pilihan raya bermula bukan lagi percaturan yang menguntungkan kerana parti-parti politik mula menyedari bahawa kerjasama pra-pilihan raya boleh membawa risiko kehilangan identiti dan sokongan akar umbi.
Hakikatnya, semua parti sedang berusaha untuk memaksimumkan jumlah kerusi yang boleh dimenangi secara sendiri sebelum memasuki rundingan pasca pilihan raya.
Dalam sistem politik Malaysia hari ini, kemenangan besar oleh satu gabungan secara mutlak semakin sukar dicapai.
Keputusan PRU15 telah membuktikan bahawa tiada mana-mana gabungan mampu memperoleh majoriti mudah secara bersendirian.
Oleh sebab itu, pilihan raya kini bukan lagi medan untuk menentukan kerajaan secara langsung, tetapi lebih kepada proses menentukan kekuatan tawar-menawar setiap parti selepas keputusan diumumkan kelak.
Misalnya, sekiranya UMNO berjaya memperoleh jumlah kerusi yang lebih besar berbanding PH dalam PRU16, UMNO boleh menggunakan kekuatan tersebut untuk menuntut jawatan Perdana Menteri sekiranya kerjasama antara kedua-dua pihak mahu diwujudkan semula.
Begitu juga dengan parti-parti lain yang akan menggunakan jumlah kerusi mereka sebagai modal rundingan politik.
Dalam keadaan ini, kepentingan strategik parti akan menjadi lebih utama berbanding kesetiaan ideologi atau slogan politik yang dilaungkan sebelum pilihan raya.
Sebab itulah gabungan politik sebelum pilihan raya kini dilihat semakin berisiko. Kesilapan memilih rakan gabungan boleh menyebabkan sesebuah parti kehilangan sokongan tradisi mereka sendiri.
Contohnya, jika UMNO terlalu awal mengumumkan kerjasama rasmi dengan PH, sebahagian pengundi Melayu mungkin kembali memainkan sentimen penolakan terhadap DAP, sekali gus menjejaskan sokongan kepada UMNO.
Pada masa sama, penyokong PH juga mungkin kecewa sekiranya kerjasama dengan UMNO diteruskan secara terbuka sebelum pilihan raya.
Inilah wajah politik baharu Malaysia dalam era pasca PRU15 yang memperlihatkan sokongan majoriti sukar dicapai.
Rakyat masih mempunyai kuasa memilih wakil rakyat di kawasan masing-masing melalui peti undi.
Namun, kuasa sebenar untuk membentuk kerajaan dan menentukan siapa yang menjadi Perdana Menteri kini banyak bergantung kepada rundingan elit politik selepas pilihan raya selesai.
Dalam proses rundingan tersebut, tidak semua kehendak penyokong parti akan diterjemahkan sepenuhnya.
Penyokong PH misalnya pernah menolak kerjasama dengan BN sebelum PRU15, manakala sebahagian penyokong UMNO juga menolak kerjasama dengan PH melalui slogan “No Anwar, No DAP” yang pernah dilaungkan dalam Perhimpunan Agung UMNO sebagai simbol penolakan terhadap PH.
Namun selepas keputusan pilihan raya menghasilkan keadaan Parlimen tergantung, slogan tersebut akhirnya terpaksa diketepikan demi pembentukan kerajaan.
Realiti ini membuktikan bahawa politik Malaysia hari ini lebih bersifat pragmatik berbanding bersumberkan ideologi.
Elit-elit dalam parti politik sanggup mengubah pendirian demi memastikan kelangsungan kuasa dan kestabilan politik.
Hakikatnya, hari ini, rakyat tidak boleh lagi memilih berasaskan parti, kerana parti akan mengubah haluan apabila pilihan raya selesai.
Pilih sahaja calon yang kita mahukan, supaya suara rakyat akan sentiasa diwakili.
Dalam keadaan ini, pengundi mungkin perlu memberi lebih perhatian kepada kualiti calon, keupayaan wakil rakyat dan kepentingan kawasan yang diwakili, berbanding terlalu bergantung kepada jenama parti semata-mata.
- Dr Muhammad Azzubair Awwam Mustafa ialah Pensyarah Kajian Politik dan Pemerintahan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sarawak.
- Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.