SEORANG remaja OKU (orang kelainan upaya) berusia 17 tahun dari Singapura diarah menjalani pemulihan selama 24 bulan setelah mencuri sebuah bas dan memandunya di bawah umur dan tanpa insurans.

Lapor Channel News Asia, Muhammad Salahuddin Omar – seorang OKU yang cacat pendengaran dan bisu – harus melakukan 130 jam khidmat masyarakat, dan berada di dalam rumah dari jam 10 malam hingga 5.30 pagi.

Beliau turut dilarang dari memohon untuk semua kelas lesen memandu dalam tempoh hukuman.

Kejadian yang berlaku pada 8 Mac mendapati bahawa Salahuddin ke Woodlands Industrial Park E8 dengan berniat untuk mencuri sebuah bas.

Bila melihat sebuah bas kosong milik AZ Bus, Salahuddin memasuki bas berkenaan dengan menekan butang pintu kecemasan.

Beliau kemudian bertindak untuk memandu bas berkenaan selama 45 minit ke Bukit Batok Central, sebelum diberhentikan oleh seorang eksekutif operasi AZ Bus, yang berjaya menjejaki bas berkenaan.

Laporan yang sama mendedahkan Salahuddin mempunyai minat yang mendalam dalam sistem pengangkutan awam.

Setahun sebelum kejadiaan, Salahuddin dipercayai ke pameran yang berkaitan dengan pengangkutan awam dan bermain permainan komputer yang berkaitan dengan bas.

Hakim Mathew Joseph akan menilai semula perkembangan Salahuddin pada 6 Oktober.