Skip to main content

Dunia

Ribuan berhimpun di Itali bantah kerajaan, kawalan keselamatan diperketat

Anggota polis dan pasukan Carabinieri berkawal di luar Colosseum ketika orang ramai menyertai demonstrasi spontan bagi membantah peningkatan kos sara hidup. Perhimpunan itu dihalang pihak polis seminggu selepas protes di beberapa bandar di utara Itali berakhir dengan pertembungan dan insiden rompakan, di Rome, Itali, pada 24 Oktober 2026. - Gambar Reuters
Anggota polis dan pasukan Carabinieri berkawal di luar Colosseum ketika orang ramai menyertai demonstrasi spontan bagi membantah peningkatan kos sara hidup. Perhimpunan itu dihalang pihak polis seminggu selepas protes di beberapa bandar di utara Itali berakhir dengan pertembungan dan insiden rompakan, di Rome, Itali, pada 24 Oktober 2026. - Gambar Reuters

Advertisement

ROM: Pasukan keselamatan Itali dikerahkan secara besar-besaran pada Sabtu ketika ribuan orang berhimpun dalam siri demonstrasi di seluruh negara meskipun kerajaan melaksanakan tindakan keras susulan pertembungan ganas yang berlaku minggu lalu.

Menurut pihak polis, sembilan individu ditahan manakala 371 lagi, termasuk 110 remaja bawah umur, dibawa ke balai polis di lapan bandar bagi siasatan selepas berlaku insiden kekecohan dalam beberapa demonstrasi.

Kerajaan berhaluan kanan pimpinan Perdana Menteri Giorgia Meloni minggu ini meluluskan langkah keselamatan yang lebih ketat, selain pihak berkuasa menjalankan puluhan serbuan dan tangkapan menjelang perhimpunan tersebut.

"Berarak adalah hak kami. Kami perlu menyuarakan pandangan," kata seorang peserta demonstrasi di Milan, Alessio Scimone, 24, kepada agensi berita antarabangsa AFP.

Di Milan, beberapa ribu penunjuk perasaan berarak melalui pusat bandar sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Jumlah peserta yang hampir sama turut menyertai demonstrasi di Rom, malah sebahagian daripada mereka dilaporkan sempat memasuki kawasan Colosseum sebelum keadaan kembali terkawal.

Menteri Dalam Negeri, Matteo Piantedosi berkata, polis berjaya mengasingkan dan mengawal kumpulan yang mencetuskan keganasan secara profesional dan seimbang.

"Di Itali, tiada ruang untuk mereka yang beranggapan boleh bertindak sesuka hati tanpa dikenakan tindakan," katanya seperti dipetik agensi berita ANSA.

Image
A woman holds an Italian flag in front of police and Finance Police in riot gear, as people attend a spontaneous demonstration against the rising cost of living, a week after protests ended in clashes and looting in northern cities, in Milan, Italy October 24, 2026. REUTERS/Yara Nardi
a { text-decoration: none; color: #464feb; } tr th, tr td { border: 1px solid #e6e6e6; } tr th { background-color: #f5f5f5; } Seorang wanita memegang bendera Itali di hadapan anggota polis dan pasukan Polis Kewangan yang lengkap memakai peralatan antirusuhan ketika orang ramai menyertai demonstrasi spontan membantah peningkatan kos sara hidup di Milan, Itali, pada 24 Oktober 2026. - Gambar Reuters

'Kami tidak takut'

Di Milan, beberapa premis perniagaan memilih untuk menutup operasi lebih awal dan memasang papan perlindungan pada cermin premis susulan insiden rompakan yang berlaku di hab fesyen itu minggu lalu.

Bagaimanapun, ada juga peniaga yang meneruskan operasi seperti biasa selepas Datuk Bandar Milan, Giuseppe Sala, menggesa orang ramai supaya tidak panik.

"Kami mahu menghantar mesej bahawa kami tidak takut kepada golongan muda yang melakukan tindakan sedemikian," kata Alessandro Buhne, 30, yang bekerja di sebuah butik pakaian lelaki.

Menurutnya, ramai pelancong bimbang dengan situasi tersebut, namun peniaga mahu menunjukkan bahawa keadaan masih selamat untuk orang ramai.

Sementara itu, Stefania Segalina, 55, sukarelawan sebuah badan amal perubatan antarabangsa, melahirkan rasa lega kerana tiada insiden ganas besar berlaku sepanjang demonstrasi.

"Kami agak bimbang pada awalnya, tetapi tetap turun menjalankan kutipan dana seperti dirancang," katanya.

Dia turut mengakui kehadiran anggota polis yang ramai memberikan keyakinan kepada orang awam sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Selepas pertembungan ganas di Milan minggu lalu, kerajaan menghantar 500 anggota tentera ke bandar itu selain meluluskan peraturan yang memudahkan penahanan pesalah bawah umur serta mengenakan denda kepada ibu bapa atas kerosakan yang dilakukan anak mereka ketika demonstrasi.

Pada Sabtu, polis turut mengumumkan penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun yang disyaki menjadi dalang di sebalik "Pergerakan 17 Oktober", kumpulan yang menyeru penganjuran protes berkenaan.

Kumpulan pelajar pula mengecam respons kerajaan terhadap isu ketenteraman awam dan menggesa pentadbiran Meloni memberi perhatian kepada tuntutan mereka, termasuk mengurangkan perbelanjaan ketenteraan dan menyalurkan lebih banyak dana kepada sektor pendidikan.

Demonstrasi itu merupakan sebahagian daripada gelombang bantahan melibatkan pelajar, pemandu lori dan petani yang memprotes peningkatan kos sara hidup, termasuk harga perumahan dan bahan api.

Kerajaan Itali minggu ini turut meluluskan pakej bantuan kewangan kepada perniagaan yang terkesan akibat kenaikan harga bahan api susulan konflik di Asia Barat.

Dalam perkembangan berkaitan, sekatan jalan raya oleh pemandu lori yang sebelum ini melumpuhkan beberapa kawasan di selatan Itali serta menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan bahan api selama hampir seminggu dilaporkan telah ditamatkan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement