Ribuan rakyat di Honduras meratapi upacara pengebumian Ratu Cantik Honduras, Maria Jose Alvarado dan kakaknya Sofia Trinidad yang mati dibunuh selepas seminggu mereka dilaporkan hilang.

Keadaan sedih menyelubungi ketika keranda Maria, 19 tahun dan kakaknya yang berumur 23 tahun dibawa ke tanah perkuburan.

Mangsa dan kakaknya hilang selepas dilihat kali terakhir di sebuah majlis hari jadi di utara bandar Santa Barbara.

Penduduk Santa Barbara mengadakan demonstrasi dengan memakai baju-T putih yang mempunyai gambar kedua beradik itu dan berarak dengan sebuah panji yang tertulis "May God protect them" (semoga Tuhan melindungi mereka).

Kedua-dua mayat itu dibawa pulang ke Santa Barbara kira-kira 200 kilometer dari ibu negara selepas analisis forensik dibuat pihak berkuasa.

Ibu mereka, Teresa Munoz meratapi kematian kedua-dua anak perempuannya di tanah perkuburan.

"Ia kejadian yang tidak disangka dan sukar untuk dungkatpkan dengan kata-kata, apa yang lelaki itu buat kepada cucu saya adalah perbuatan di luar batasan kemanusiaan, " kata nenek kedua mangsa itu, Soreta Munoz yang berusia 86 tahun, lapor AFP.

Akhbar tempatan melaporkan polis sedang menyiasat sama ada teman lelaki Trinidad, Plutarco Ruiz, menembak Trinidad di kepala kerana cemburu melihatnya menari bersama lelaki yang lain.

Beliau dilaporkan menembak Maria Jose sebanyak dua kali dari belakang ketika ratu cantik itu cuba melarikan diri.

Ketua detektif, Leandro Osorio berkata mayat ratu cantik dan kakaknya dijumpai ditanam berdekatan dengan Sungai Aguagual di bandar Arada, utara Honduras.

Laporan itu menyebut, kali terakhir mereka dilihat adalah ketika meninggalkan majlis hari jadi di sebuah resort luar Santa Barbara.

Pada Rabu, polis menahan pemilik resort berkenaan, Ventura Diaz, isterinya, Elizabeth Alvarado dan anak perempuan mereka, Irma Nicolle.

"Kami menyiasat kaitan suspek sama ada ada lagi suspek lain terlibat dalam kes ini," kata jurucakap polis, Jose Coello.

Pegawai menahan Ruiz selepas dia disyaki membersihkan bahan bukti selepas membunuh kedua adik beradik itu.

Maria Jose di laman web rasmi Ratu Cantik Dunia, menggambarkan dirinya sebagai seorang diplomat yang bercita-cita tinggi dan gemar bermain bola tampar pada waktu lapang.

Dia menewaskan 18 peserta lain untuk dinobatkan sebagai Ratu Cantik Honduras pada April lalu.

Maria Jose sepatutnya menghadiri satu temujanji bagi mencuba pakaian yang akan dipakai pada pertandingan itu di London pada 14 Disember ini yang akan disertai 120 peserta lain dari seluruh dunia.