ISTANBUL: Ribut Austen, yang menghampiri Perancis, telah menyebabkan 160,000 isi rumah tanpa bekalan elektrik, menurut pengendali rangkaian elektrik Enedis awal Jumaat, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut Enedis, 128,000 isi rumah terjejas di Brittany, 19,000 di Pays de la Loire dan 14,000 di Normandy, sambil menambah bahawa "lebih 2,000 pekerja" bersedia untuk menjalankan operasi (pembersihan) "sebaik sahaja keadaan mengizinkan."
Susulan kedatangan ribut Austen di negara itu, 23 daerah di barat laut Perancis diletakkan di bawah amaran jingga akibat angin kencang.
Feri yang menghubungkan Perancis dan England tidak belayar pada waktu pagi berikutan angin kencang dan ombak tinggi, menurut penyiar BFMTV.
Perkhidmatan kereta api di kawasan yang terjejas oleh ribut juga terganggu teruk sekurang-kurangnya sehingga tengah hari, menurut laporan itu.
Di daerah Finistere, pusat tindak balas krisis telah diaktifkan di wilayah itu apabila angin kencang direkodkan.
Menjelang tengah malam, perkhidmatan jabatan dilaporkan telah menjalankan 105 operasi, terutamanya untuk membersihkan jalan raya, manakala anggota bomba telah digerakkan untuk 45 operasi.
-- BERNAMA-ANADOLU