CAPE CANAVERAL: Sebuah roket baharu milik Blue Origin, New Glenn, meletup ketika ujian di tapak pelancaran di Florida, sekali gus menjadi satu tamparan besar kepada usaha syarikat itu untuk menyaingi SpaceX dalam industri angkasa lepas.
Insiden dramatik itu berlaku sekitar jam 9 malam waktu tempatan ketika ujian enjin dikenali sebagai 'hot-fire test', iaitu prosedur biasa di mana enjin roket dinyalakan ketika kenderaan masih berada di darat.
Rakaman video yang tular menunjukkan roket tersebut menyala seketika sebelum meletup menjadi bebola api besar, dengan kepulan asap dan api menjulang tinggi ke udara.
Dalam kenyataan rasmi, Blue Origin memaklumkan bahawa ia mengalami “anomali” semasa ujian, istilah biasa yang digunakan dalam industri angkasa bagi merujuk kegagalan atau letupan.
Syarikat itu turut mengesahkan semua kakitangan selamat dan telah dikenal pasti, tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Pengasasnya, Jeff Bezos, berkata masih terlalu awal untuk menentukan punca sebenar kejadian, namun memberi jaminan bahawa syarikat akan membina semula dan meneruskan misi mereka.
“Ini hari yang sukar, tetapi kami akan bina semula apa yang perlu dan kembali terbang,” kata beliau.
Roket New Glenn sepatutnya digunakan untuk pelancaran puluhan satelit internet Amazon ke orbit rendah Bumi sebagai sebahagian daripada projek yang bersaing dengan rangkaian Starlink milik Elon Musk.
Bagaimanapun, kejadian ini dijangka menyebabkan kelewatan besar kepada jadual pelancaran, selain menjejaskan sasaran komersial Blue Origin dalam industri satelit global.
Blue Origin telah melaburkan berbilion dolar dan mengambil masa hampir satu dekad untuk membangunkan roket New Glenn, yang direka sebagai roket pengangkut berat dengan keupayaan digunakan semula bagi menyaingi roket Falcon dan Starship milik SpaceX.
Insiden ini dilihat sebagai kemunduran serius kepada syarikat tersebut dalam perlumbaan industri angkasa, khususnya ketika SpaceX terus mendahului dengan kadar pelancaran yang lebih tinggi dan teknologi lebih matang.
Elon Musk, Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, turut memberi reaksi ringkas terhadap kejadian tersebut dengan menyatakan: “Sangat malang. Roket memang sukar.”
Pihak berkuasa penerbangan AS dijangka akan menjalankan siasatan terhadap kejadian itu bagi menentukan punca sebenar sebelum sebarang ujian atau pelancaran seterusnya dibenarkan.