BINTANG bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo, mencetuskan perbincangan dalam talian selepas akaun Instagram rasminya dikesan menyukai satu hantaran video yang mengkritik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Video berkenaan turut mengandungi dakwaan bahawa FIFA memberikan layanan yang memihak kepada Argentina sepanjang kempen Piala Dunia 2026 sehingga membantu pasukan itu mara ke perlawanan akhir.
Tindakan pemain Al-Nassr itu disedari peminat sejurus selepas Argentina tewas 1-0 kepada Sepanyol dalam masa tambahan pada perlawanan akhir kejohanan berkenaan.
Video pendek yang dimuat naik oleh program televisyen Sepanyol, Espejo Público, memaparkan ulasan penganalisis media, Pilar Rodríguez Losantos.
Dalam rakaman tersebut, Losantos mengkritik mutu pengadilan sepanjang kejohanan dan mendakwa Argentina memperoleh beberapa keputusan yang memihak kepada mereka.
Dakwaan berhubung keputusan pengadilan itu mula menjadi perhatian selepas beberapa insiden melibatkan Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika Argentina berdepan Mesir dan England pada peringkat terdahulu kejohanan.
Tangkapan skrin yang menunjukkan tanda suka daripada akaun rasmi @cristiano kemudian tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat bola sepak.
Bagaimanapun, FIFA menegaskan integriti pegawai perlawanan kekal terpelihara dan keputusan yang dibuat sepanjang kejohanan adalah berdasarkan undang-undang permainan serta proses semakan yang ditetapkan.