Skip to main content

Malaysia

Sarawak laksana program integriti sehingga rumah panjang, kampung terpencil - Juanda

Juanda Jaya, ombudsman, Sarawak
Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya ketika ditemu bual dalam program Agenda AWANI. - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Sarawak melaksanakan program integriti di peringkat akar umbi melibatkan rumah-rumah panjang dan kampung-kampung terpencil.  

Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Juanda Jaya berkata, kesedaran mengenai isu integriti dan mekanisme ombudsman itu penting untuk memastikan program pembangunan dalam dijayakan sepenuhnya.

"Kami tidak hanya buat program integriti di hotel-hotel. Kita buat (program integriti) di rumah panjang dan kampung-kampung terpencil.  

"Kita beritahu keinginan Premier Sarawak yang lihat isu integriti ini sebagai suatu isu besar. Kalau kita ada pembangunan, tetapi manusia yang terbabit tidak berintegriti, maka pembangunan itu pasti akan tersekat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Tegasnya, Sarawak terkehadapan berbanding negeri-negeri lain berikutan negeri tersebut membuktikan keterbukaan untuk menerima aduan mengenai kekurangan dalam sistem penyampaian perkhidmatan menerusi Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) yang diletakkan dibawah Jabatan Premier Sarawak.

"Kita mesti anggap kritikan rakyat itu sebagai suatu modal baharu. Ramai orang sebut zaman kerajaan yang tahu segala-galanya telah berakhir, tetapi orang tidak berbuat apa-apa.  

"Kami di Sarawak buka (ruang dan unit ombudsman). Kalau ada rakyat tidak berpuas hati terhadap sistem penyampaian kerajaan, sila lapor," ujarnya.

Untuk konteks, Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 20 November 2023 dan mula berkuatkuasa pada pada 1 April 2024.

Ordinan tersebut menjadi punca kuasa kepada penubuhan institusi ombudsman Sarawak sebagai badan bebas untuk menerima, menyiasat dan meneliti aduan berkaitan salah tadbir urus, penyalahgunaan kuasa serta kelemahan penyampaian perkhidmatan oleh agensi awam negeri. 
 

Agenda AWANI: Sarawak | Bina Integriti Banteras Rasuah

Must Watch Video

Advertisement