Skip to main content

Malaysia

154 pesakit terima rawatan di lapan Pusat Dialisis Yayasan Veteran ATM

ROMPIN, 21 Julai -- Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Datuk Semaon Marjuki (kiri) menyantuni pesakit yang sedang menjalani rawatan semasa melawat Pusat Dialisis Yayasan Veteran ATM selepas merasmikannya di Muadzam Shah dekat sini hari ini.  Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim (dua, kiri).  --fotoBERNAMA
Semaon (kiri) menyantuni pesakit yang sedang menjalani rawatan semasa melawat Pusat Dialisis Yayasan Veteran ATM selepas merasmikannya di Muadzam Shah. - Gambar Bernama
Advertisement

ROMPIN: Sebanyak 154 pesakit daripada pelbagai latar belakang agensi kerajaan, sektor swasta serta awam kini menerima rawatan di lapan Pusat Dialisis Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Mejar Jen Datuk Semaon Marjuki berkata daripada jumlah itu, 54 orang merupakan pesakit dalam kalangan veteran ATM.

“Pesakit yang menerima rawatan di Pusat Dialisis Yayasan Veteran ATM cawangan Muadzam Shah adalah sebanyak lapan orang, dengan dua daripadanya merupakan veteran ATM,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan pusat dialisis itu di sini hari ini. 

Selain cawangan di Muadzam Shah, beliau berkata pihaknya akan membuka sebuah lagi pusat dialisis di Jempol, Negeri Sembilan pada Ogos ini, sekali gus melengkapkan rangkaian sembilan pusat dialisi Yayasan Veteran ATM. 

Beliau berkata langkah itu selaras dengan pelan strategik Kementerian Pertahanan untuk memastikan kesejahteraan veteran ATM terpelihara dari sudut ekonomi dan kesihatan selepas menamatkan perkhidmatan.

Dalam pada itu, Semaon turut mengetengahkan keunikan perkhidmatan pusat dialisis berkenaan yang menyediakan bantuan pengangkutan pergi dan balik bagi pesakit di semua pusat dialisis yang terlibat.

"Ini merupakan satu kelebihan yang membezakan pusat dialisis kita berbanding yang lain. Kita bukan sahaja mahu menarik pesakit mendapatkan rawatan di sini tetapi juga memudahkan urusan harian mereka untuk hadir menerima rawatan," katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Razali Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM Lt Kol Azwadi Jamian.  

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement